Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan negeri timbang sediakan feri di Sungai Perak
Diterbitkan:  Oct 5, 2017 4:29 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Kerajaan Perak sedia menimbangkan penyediaan perkhidmatan feri untuk membawa kenderaan ringan menyeberangi Sungai Perak susulan penutupan Jambatan Sultan Yusof sehingga hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata penyediaan feri itu antara langkah alternatif yang ditimbangkan kerajaan negeri bagi membantu pengguna.

“Setakat ini saya masih berpegang kepada kata-kata JKR (Jabatan Kerja Raya) (jambatan ditutup) sehingga hujung tahun dan saya harap mereka jangan lagi buat keputusan mengejut. Kalau tidak boleh (selesaikan) beritahu awal-awal,” katanya kepada pemberita hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Manik itu ditemui selepas menyampaikan sumbangan alat tulis kepada calon Pentaksiran Tingkatan Tiga bagi kawasan itu di Teluk Intan.

Jambatan Yusof yang menghubungkan Teluk Intan/Sabak Bernam-Manjung/Sitiawan ditutup sejak awal Ogos lalu bagi kerja-kerja penyelenggaraan berikutan penemuan kecacatan serius yang boleh menjejaskan struktur dan keselamatan jambatan.

Jambatan itu dijadualkan dibuka semula pada hujung bulan sama namun JKR mengumumkan tempoh penutupan dilanjutkan sehingga ke satu tarikh yang dimaklumkan kemudian sebelum mengeluarkan kenyataan penutupan selama empat bulan lagi pada awal bulan lepas.

Penutupan jambatan itu menyebabkan Jalan Kampung Bahagia di Teluk Intan sering mengalami kesesakan memandangkan jalan tersebut merupakan satu-satunya laluan alternatif yang menghubungkan Bagan Datuk dan Sabak Bernam di Selangor untuk ke Sitiawan dan Manjung.

Mengulas lanjut, Zainol Fadzi berkata sebelum wujudnya jambatan itu, kenderaan ringan diangkut menggunakan feri dengan bayaran sekitar RM5.

“Kita tengok macam mana nanti jika ia dilaksanakan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS