Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Gerakan gesa k'jaan perkenal semula MyDeposit
Diterbitkan:  Oct 5, 2017 6:00 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Parti Gerakan mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan semula Skim Pembiayaan Rumah Pertamaku (MyDeposit), bertujuan membolehkan lebih ramai golongan muda Malaysia untuk memiliki rumah sendiri, dalam Bajet 2018.

Pengerusi Biro Belanjawan dan Anggota Jawatankuasa Pusat Gerakan Datuk Lim Thuang Seng berkata skim itu, yang diperkenalkan dalam Bajet 2016, mendapat respons yang baik daripada masyarakat dan ia sepatutnya ditawarkan semula supaya lebih ramai akan memperoleh manfaatnya.

"MyDeposit adalah satu daripada beberapa cadangan yang dikumpul Gerakan berdasarkan maklum balas yang kami peroleh daripada orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar di Menara PGRM di ibunegara hari ini.

MyDeposit dilancarkan pada 6 April tahun lepas dengan peruntukan RM200 juta selepas dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2016.

Ia membantu kumpulan M40 dengan pendapatan isi rumah antara RM3,000 danRM10,000 untuk membeli rumah pertama mereka yang berharga RM500,000 atau kurang, dengan membayar 10 peratus pendahuluan daripada harga rumah atau maksimum RM30,000 bagi hartanah di bawah RM500,000.

Lim berkata cadangan lain yang dibuat parti berkenaan termasuk untuk mengurangkan atau mengecualikan rakyat Malaysia daripada bayaran masuk ke tempat menarik di negara ini.

Beliau berkata langkah itu, jika dilaksanakan, akan membantu merancakkan industri pelancongan dan ekonomi.

Katanya semua cadangan akan dikemukakan kepada Najib tidak lama lagi.

Najib dijadual membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat pada 27 Oktober.

Tabung PGRM-TVET dilancar

Sementara itu parti Gerakan melancarkan tabung Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (PGRM-TVET) berjumlah RM100,000 bertujuan menggalakkan lebih ramai pekerja memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) mengikut kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PTT).

Tabung itu, sumbangan Penasihat Eksekutif Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Malaysia (ACCCIM) Tan Sri Soong Siew Hoong, akan disediakan dalam bentuk biasiswa kepada pemohon berkelayakan yang memenuhi segala keperluan di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

“Saya menggesa lebih ramai orang, terutamanya mereka yang tidak mempunyai sebarang sijil khusus, supaya merebut peluang ini untuk melengkapkan diri mereka dengan pensijilan. Ini akan mempertingkatkan daya saing mereka dalam industri.

“Sijil SKM ini amat penting di masa depan disebabkan secara beransur-ansur, hanya mereka yang diiktiraf dengan sijil kemahiran akan dibenarkan membida bagi projek kerajaan atau diterima bekerja atau membuka perniagaan sekalipun,” katanya kepada pemberita di Menara PGRM hari ini.

Soong menggesa lebih banyak usahawan dan kalangan perniagaan supaya tampil serta memberi sumbangan kepada tabung PGRM-TVET.

Soong, seorang pemimpin veteran Gerakan, menyerahkan peruntukan itu kepada presiden parti, Datuk Seri Mah Siew Keong dalam satu majlis ringkas hari ini.

PTT direka bagi pekerja yang mempunyai kemahiran dan pengalaman kerja tetapi kurang pensijilan.

Maklumat lanjut berkaitan tabung itu ada dalam laman sesawang www.gerakan.org.my/tvetfund

- Bernama

Lihat Komen
ADS