Malaysia harus kekal negara Islam sederhana
Rakyat Malaysia harus mendukung pendekatan wasatiah serta memperjuangkan maqasid syariah (tujuan-tujuan syariah) untuk kekal sebagai negara Islam yang memilih jalan tengah, sederhana dan progresif.
Seruan itu dinyatakan dalam khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini yang mengulas berkaitan ancaman sikap melampau terhadap kesatuan ummah.
Mimbar juga menegaskan ekstremisme tidak boleh ditangani dengan ekstremisme.
Pertikaian dalam hal itu juga, kata khutbah, lebih rumit berbanding yang disangkakan.
“Krisis di timur tengah umpamanya bukan tercetus semata-mata disebabkan pertembungan mazhab atau sikap ekstrem umat Islam,” menurut teks khutbah hari ini.
“Tetapi ia adalah gabungan beberapa faktor ditambah dengan percaturan kuasa-kuasa besar yang mempunyai pelbagai agenda dan kepentingan.
“Dalam hal ini, kita perlu menyedari betapa kompleksnya cabaran ini malah respon dalam bentuk keganasan yang serupa tidak akan mampu menyelesaikan masalah bahkan mendatangkan kemusnahan yang lebih besar.”
“Keberanian melulu” dengan menyertai golongan militan juga dalam hal itu tidak melambangkan ajaran Islam sebenar yang mementingkan aspek kebijaksanaan dalam bertindak, kata khutbah lagi.

