Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kalau matlamat sama, tak perlu lagi ada Umno, kata PAS
Diterbitkan:  Oct 6, 2017 12:19 PM
Dikemaskini: 4:34 AM

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menyelar kenyataan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa yang meramalkan akan terbentuk kerjasama antara kedua-dua parti itu dari masa ke masa kerana mereka mempunyai DNA (asid desksiribonukleik) yang sama.

Beliau juga tidak bersetuju dengan pendapat Annuar yang berkata, PAS mempunyai DNA dan matlamat yang sama dengan Umno iaitu memperjuangkan kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

“Macam mana dia (Annuar Musa) boleh kata matlamat PAS dan Umno sama? Kalau sama, tak perlulah ada lagi Umno.

“PAS wujud kerana matlamat Umno tidak sama dan kami ingin menegakkan Islam secara lengkap dan bukan saja dalam bentuk ritual,” kata Idris yang dipetik Sinar Harian, hari ini.

Menurut anggota Parlimen Bukit Gantang itu, Umno dan PAS ibarat ikan keli dan ikan sembilang yang kedua-duanya nampak sama tetapi sebenarnya berlainan.

“Mungkin mereka (Umno) ingat DNA sama tapi jangan perasanlah kerana PAS tak sama dengan parti lain," kata Idris dipetik Sinar Harian.

Rabu lalu, Annuar berkata, jika dahulu PAS dilihat mencari-cari perbezaan antara parti itu dengan Umno, namun di bawah pucuk kepimpinan PAS yang ada sekarang menunjukkan sedikit perubahan apabila mereka mula mencari titik kebersamaan itu.

Katanya, menjelang pilihan raya umum akan datang, beliau percaya akan ada pengumuman yang menggembirakan umat Islam dan kaum Melayu terutamanya atas kepentingan agama dan bangsa, memandangkan pucuk pimpinan kedua-dua parti dilihat mempunyai titik kebersamaan dan taawun.

Namun bagi Idris, perbezaan Umno dengan PAS masih menyerlah terutama berhubung peranan parti masing-masing menegakkan Islam.

Katanya, PAS secara lengkap menegakkan Islam buat seluruh rakyat di negara ini tetapi tidak pada perjuangan Umno.

“PAS memperjuangkan Islam di dunia dan akhirat malah parti ini juga turut berpolitik dengan cermat," kata Idris.

Justeru, katanya PAS akan terus istiqomah dalam perjuangannya dan tidak mempunyai sebarang bentuk kerjasama dengan Umno.

Malah, menurutnya PAS akan menentang Umno khususnya dalam PRU14.

 

Lihat Komen
ADS