Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
TPM: Tiada unsur politik dalam serbuan SPRM di Sabah
Diterbitkan:  Oct 6, 2017 12:45 PM
Dikemaskini: 4:51 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana lebih RM100 juta untuk program rakyat miskin adalah telus dan tidak melibatkan unsur politik.

Beliau juga meminta agar SPRM diberi peluang menyiasat kes itu.

“Dalam hal ini saya cukup yakin ia telus, bukan berunsur politik.

"Kita boleh beri kebolehpercayaan yang tinggi kepada SPRM, terutama dalam menentukan projek untuk rakyat dinikmati oleh rakyat, bukan tercicir di tengah jalan atau berlaku ketirisan disebabkan beberapa orang yang mempunyai agenda sendiri yang tidak menterjemahkan agenda kerajaan persekutuan ke kawasan luar bandar, terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid yang ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Membasmi Kemiskinan ke-10.

Beliau mengulas laporan media yang menyebut SPRM menyiasat kes penyelewengan dana untuk projek kebajikan rakyat miskin oleh pegawai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang bersekongkol dengan 10 syarikat.

Turut dilaporkan SPRM menahan tiga individu termasuk Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Peter Anthony bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Beliau ditahan selepas hadir ke pejabat SPRM di Kota Kinabalu untuk memberi keterangan, semalam.

Rabu lalu, SPRM dilaporkan merampas wang tunai kira-kira RM150 juta menerusi serbuan di beberapa lokasi di Sabah.

SPRM mendakwa wujudnya sindiket menggelapkan wang dengan cara mengisytiharkan projek pembangunan kerajaan sudah siap dan membuat tuntutan bayaran, walaupun projek tersebut langsung tidak dijalankan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki sebelum ini mengesahkan operasi sedang dijalankan tetapi tidak mendedahkan kementerian yang terlibat.

Peter dilaporkan menerima sejumlah projek daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang sebelum ini dipegang Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal.

Namun beliau menafikan melakukan apa-apa kesalahan, dan menegaskan projek tersebut diperolehinya melalui prosedur yang betul.

WARISAN ditubuhkan Shafie selepas beliau digugurkan daripada jemaah menteri pada 2015, dan keluar Umno setahun kemudian.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata beliau amat menghargai komitmen Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memberi kerjasama penuh kepada SPRM bagi melancarkan siasatan.

Sementara itu, Ismail Sabri yang turut hadir pada sidang media tersebut meminta masyarakat agar menunggu siasatan SPRM selesai bagi mengetahui jumlah sebenar dana yang diselewengkan.

Lihat Komen
ADS