Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timbalan setiausaha bahagian di kementerian direman 6 hari
Diterbitkan:  Oct 6, 2017 2:52 PM
Dikemaskini: 6:59 AM

Seorang bekas timbalan setiausaha bahagian sebuah kementerian hari ini direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana hampir RM180 juta berkaitan projek di Sabah.

Majistret Aida Khairuleen Azli mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman wanita berusia 40 tahun itu bermula hari ini sehingga 11 Oktober.

Wanita berkenaan ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 8.15 malam tadi dan dibawa ke mahkamah pada pukul 9.30 pagi ini.

Wanita itu adalah antara tiga individu yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Turut ditahan ialah naib presiden sebuah parti di Sabah, yang juga ahli perniagaan. Beliau ditahan di pejabat SPRM Negeri Sabah ketika hadir memberi keterangan pada pukul 6.40 petang semalam.

Seorang lagi ialah ahli perniagaan berusia 52 tahun yang ditahan di pejabat SPRM Sabah pada pukul 8.45 malam tadi bagi membantu siasatan.

Semalam, SPRM menyita RM29 juta lagi dalam siasatan terbaru mengenai penyelewengan dana berkaitan projek di Sabah.

Pada 4 Oktober lalu, lebih RM150 juta wang tunai dirampas dalam operasi yang dijalankan oleh pegawai penyiasat di 15 buah lokasi di negeri itu.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS