Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Laungan takbir, hidup Islam dan kutukan terhadap DAP bergema berselang-seli semasa lebih 100 orang berkumpul dalam demonstrasi aman membantah penganjuran pesta arak hari ini.

Berlangsung di pekarangan Masjid Kota Damansara mereka berkumpul sebagai tanda menolak sebarang program berkaitan pesta arak di Selangor.

Antara laungan bersemangat yang dapat didengar semasa protes itu ialah "Hidup Islam" dan "Hancur DAP".

Peserta juga membawa beberapa sepanduk dan poster yang menyatakan bantahan mereka kepada program melibatkan arak.

Mereka juga memohon Sultan Sharafuddin Idris Shah - sebagai ketua agama Islam negeri - campur tangan bagi menangani isu berkenaan.

Turut menjadi tumpuan bantahan mereka ialah hal-hal berkaitan pusat perjudian, rumah urut dan pelacuran. Tidak ketinggalan menjadi fokus mereka, isu gay.

Himpunan berkenaan dianjurkan Lajnah Keselamatan Aamar Makruf Nahi Mungkar Masjid Kota Damansara.

Sebagai membuktikan bantahan itu mereka menghantar memorandum kepada polis Kota Damansara.

Melalui memorandum itu kariah masjid terbabit mengingatkan pihak berkuasa bahawa penganjuran pesta arak dan aktiviti tidak bermoral di kawasan penempatan terbabit hanya mengundang kesan negatif kepada masyarakat.

Bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum itu imam II masjid tersebut, Mohd Najih Irsyad Ahmad Puhad, berkata pihaknya tidak ada masalah jika program berkenaan dibuat dalam kawasan tertutup dan tidak diperbesar-besarkan.

'Kau kacau kau tunggu'

Namun apa yang berlaku hari ini, katanya, jelas menunjukkan pesta arak adalah budaya di negara ini.

“Kami menggesa pihak polis memantau dan tegas menolak sebarang penganjuran aktiviti seumpamanya kerana bimbang beri kesan negatif kepada keharmonian penduduk kawasan sekitar Kota Damansara.

“Kami tak bantah jika mereka buat tempat tertutup dan jangan buat secara terbuka, kerana (jika dibuat terbuka) ia seolah-olah mempromosi kehidupan seperti itu adalah budaya rakyat Malaysia,” kata Mohd Najih (gambar).

Manakala, ahli kariah lain yang ditemui turut berdukacita dengan keadaan yang berlaku hari ini.

Mohd Nazmi Karim yang juga wakil pertubuhan Muslim Care berkata Islam adalah agama rasmi negara yang tidak ada satu agama lain pun boleh melangkauinya.

Oleh itu katanya adalah menjadi tuntutan kepada orang bukan Islam agar menghormati serta menjaga adab dalam negara Islam.

“Negara ini ada agama rasminya Islam. Islam ini lebih tinggi darjatnya dan tidak ada satu agama boleh melangkauinya.

“Kita tak sekat orang bukan Muslim untuk makan apa sahaja tapi biar beradab,” tegas Mohd Nazmi.

Katanya kalau majlis itu berlaku dalam rumah orang bukan Islam, ia tidak mendatangkan masalah.

Namun katanya apabila ia dianjurkan sehingga menjadi tahap pesta, ia dianggap mencabar sensitiviti orang Islam.

“Kami nak pesan kepada bukan Muslim, jaga adab kamu dengan kami, kami ada had kesabaran.

“Aku tak kacau kau, kau jangan kacau aku. Tapi kalau kau kacau aku, kau tunggu,” tegas Mohd Nazmi (gambar).

Sementara Ketua Lajnah Keselamatan Aamar Makruf Nahi Mungkar Shaari Karim berkata pihaknya membuat bantahan untuk "melindungi dan memandaikan masyarakat".

“Menghalang pelaksanaan pesta arak bukanlah bererti menentang kebebasan, tapi satu usaha untuk melindungi dan memandaikan masyarakat.

“Ia bukan tindakan keras dan agresif tetapi lebih kepada perasaan kasih sayang serta keinginan untuk saling melindungi satu sama lain,” kata Saari.

Tambah Saari, menganjurkan acara yang menjurus kepada mempromosikan gaya hidup meminum arak beri kesan berbeza.

Untuk rekod kawasan Kota Damansara agak signifikan dalam perkembangan politik di Selangor.

Dalam pilihan raya umum (PRU) ke-12 kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Damansara dirampas pembangkang melalui calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang menggunakan logo PKR, Dr Nasir Hashim.

Nasir yang juga presiden PSM memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 1,075 undi mengatasi calon BN Datuk Zein Isma Ismail.

Bagaimanapun pada PRU ke-13 (2013) kerusi berkenaan kembali ke tangan BN melalui calonnya Halimaton Saadiah Bohan yang memenanginya dengan majorti 1,527 undi.

Pada asalnya rundingan sesama parti Pakatan Rakyat - ketika itu - memperuntukkan kerusi berkenaan kepada Nasir.

Bagaimanapun pada hari penamaan calon PAS meletakkan calon mereka Ridzuan Ismail. Turut menyertai saingan itu ialah tiga calon bebas.

Pemerhati berpendapat pembabitan PAS dalam persaingan kerusi Kota Damansara menyumbang kepada kemenangan BN di situ.

Lihat Komen
ADS