Hanya seminggu lagi himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokasi akan berlangsung namun sambutan terhadap acara itu belum mencapai tahap yang diharapkan.
Menyasarkan kedatangan 100,000 orang hari ini pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) turun padang ke tengah bandar raya Kuala Lumpur mengedarkan risalah mengajak orang ramai hadir ke Padang Timur Petaling Jaya pada 14 Okt ini.
Pengarah teknikal himpunan itu Faiz Fadzil berkata sesetengah pemimpin Pakatan Harapan terlupa untuk menguar-uarkan himpunan itu pada majlis masing-masing.
"Tidak banyak perhatian. Itulah sebabnya kami mempromosikannya. Kami akan meningkatkan promosi.
"Kami perlu melakukan banyak perkara seperti memberi tumpuan kepada penggemblengan tenaga," kata Faiz yang juga adalah ketua Pemuda AMANAH kepada Malaysiakini hari ini.
Antara promosi yang sedang dirancang itu termasuk flashmob, pengedaran risalah dan peningkatan kempen di media sosial.
Faiz, anak kepada Allahyarham Presiden PAS Datuk Fadzil Noor, mengakui kurangnya kesedaran dan minat terhadap perhimpunan yang dijadualkan di Padang Timur. Petaling Jaya itu.
Walau bagaimanapun, beliau percaya ini adalah kerana beberapa sebab, seperti faktor ekonomi.
Katanya, akibat ekonomi yang tidak menentu, adalah sukar bagi orang ramai dari negeri-negeri lain untuk ke Selangor.
Faktor lain, menurutnya, adalah orang ramai sebenarnya menyedari isu itu, dan sedang menunggu pilihan raya umum untuk menyatakan bantahan mereka.