Polis menahan dua lelaki termasuk seorang anggota Tentera Darat dan merampas 50 kilogram daun ketum di Jalan Kampung Gajah-Teluk Intan berhampiran Kampung Pulau Gajah, di Kampung Gajah di Parit awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata anggota tentera berumur 28 tahun yang berkhidmat di Markas Tentera Darat Kuala Lumpur itu ditahan bersama rakannya berumur 41 tahun kira-kira pukul 2.25 pagi.
"Pemeriksaan di dalam kenderaan jenis Toyota Avanza yang dinaiki mereka menemukan lapan bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum di bahagian but kereta manakala dua lagi bungkusan plastik hitam berisi daun yang sama dijumpai di tempat duduk belakang kenderaan.
"Kesemua rampasan disyaki mencecah 50 kilogram dan dipercayai bekalan untuk dijual di Seremban," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamad Zainal berkata hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau.
- Bernama
