Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lima puluh bekas anggota PAS dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong hari ini membuat permohonan menyertai Umno selepas mendakwa PAS kian bercelaru dan lari daripada landasan perjuangan terutama selepas pemergian bekas Mursyidul Am parti itu, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ketua kumpulan berkenaan, Mat Zahid Junoh, 55, berkata kecewa melihat keadaan PAS, mereka kini memilih menyertai Umno yang diyakini mampu membawa perjuangan agama, bangsa dan agama.

“Sejak Tok Guru (Allahyarham Nik Abdul Aziz) meninggal dunia, PAS jadi bercelaru, lari daripada perjuangan asal. Pimpinan sekarang berbeza dengan pimpinan terdahulu.

"PAS dan pembangkang lebih suka salahkan orang lain terutama kerajaan pusat dan tak nampak kesalahan dan kelemahan diri sendiri," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang menyertai Umno bersempena Jamuan Rakyat di Kampung Paloh, Tendong di Pasir Mas, hari ini.

Borang permohonan itu diserahkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed. Hadir sama Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan Senator Datuk Hanafi Mamat.

Mat Zahid berkata keputusan menyertai Umno itu atas kerelaan sendiri dan malahan yakin lebih ramai kalangan anggota PAS akan memberikan sokongan kepada Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata angin perubahan mula berlaku terutama di DUN Tendong yang merupakan antara kubu kuat PAS di Kelantan.

"Kita harap perubahan lebih besar akan berlaku selepas ini kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) datang bukan untuk bermusuh, malah kita berharap kita dapat bersatu untuk kepentingan agama, bangsa dan negara.

"BN akan sentiasa membela kepentingan rakyat dengan pelbagai bantuan disalurkan dari semasa ke semasa," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS