Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suami isteri, 2 anak ditemui mati dalam rumah

Sepasang suami isteri bersama dua anak mereka ditemui mati di rumah mereka di Jalan Utama 41, Rini Residence, Mutiara Rini, di Johor Bahru, hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Noor Hashim Mohamad berkata R. Pubalan, 52, ditemui mati tergantung dengan kain putih di siling sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan manakala anak lelakinya P. Sharveen, 14 dan anak perempuannya, P.Krishna, 9, ditemui bersama di dalam bilik berasingan dengan kesan jerutan.

Isteri Pubalan, P.Jeya, 46, yang difahamkan sakit dan menjalani rawatan hemodialisis, pula ditemui mati di atas katil berhampiran ruang tamu rumah berkenaan, katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Noor Hashim berkata polis menerima laporan kejadian di rumah teres dua tingkat itu kira-kira 2.30 petang tadi daripada seorang lelaki iaitu rakan Pubalan selepas pergi ke rumah tersebut.

Rakan Pubalan memasuki rumah tersebut selepas menemui sekeping nota bertulis rumah tidak dikunci yang diletakkan di cermin hadapan kereta Pubalan yang bekerja sebagai pemborong minuman keras.

Beliau berkata selain menemui kesemua mayat, pasukan polis yang menjalankan siasatan di rumah itu turut menemui sekeping nota wasiat di atas meja solek di dalam bilik Pubalan.

Katanya, polis, bagaimanapun, tidak menemui sebarang alat yang digunakan untuk menjerut kedua-kedua anak pasangan itu.

"Setakat ini kita tidak nampak kes ini ada kaitan dengan orang luar,” katanya.

Menurut Noor Hashim, mayat sekeluarga itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mati mengejut.

-Bernama

Lihat Komen
ADS