Kerajaan persekutuan dan negeri sentiasa memberikan tumpuan khusus ​bagi memastikan golongan peniaga kecil Bumiputera mendapat peluang secukupnya untuk memajukan diri.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata justeru, golongan peniaga kecil ini khususnya di Langkawi perlu terus mengukuhkan sokongan mereka kepada kerajaan sedia ada.

“Golongan peniaga kecil Bumiputera berisiko kehilangan peluang mendapat bantuan sekiranya kerajaan sedia ada tidak lagi memerintah negara ini.

"Parti-parti lain yang bercita-cita untuk memerintah sudah merancang untuk tidak meneruskan program bantuan yang dilaksanakan kerajaan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merasmikan Program Himpunan Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Langkawi hari ini.

Menurutnya, AIM adalah antara organisasi yang diamanahkan oleh kerajaan untuk menyalurkan bantuan kepada golongan peniaga kecil Bumiputera dan ia telah berjaya memainkan peranan berkesan membantu golongan ini.

- Bernama