Pemilihan semula DAP: ROS setuju dengan pelantikan firma audit bebas

   

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bersetuju dengan pelantikan sebuah badan bebas oleh DAP bagi mengendalikan proses pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.

Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata DAP telah melantik Grant Thornton, sebuah firma audit bebas yang berpangkalan di Amerika Syarikat, untuk mengadakan pemilihan semula CEC itu yang dijangka pada 12 November ini.

"Kita telah jawab kepada pihak DAP yang kita bersetuju atas pelantikan badan bebas tersebut dan terpulang kepada DAP untuk mengadakan pemilihan semula CEC itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian geran kepada persatuan penduduk di Pulau Pinang oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, di Dewan Millenium, di Kepala Batas hari ini.

Sebelum ini DAP difahamkan telah melantik firma audit bebas PKF Consulting untuk mengadakan pemilihan semula CEC itu.

Bagaimanapun, pelantikan firma audit itu sebagai pemerhati bebas dibantah oleh anggota perwakilan DAP yang layak mengundi dalam pemilihan semula berkenaan kerana mendakwa firma audit tersebut dipilih sendiri oleh pimpinan DAP yang tidak sah dan boleh menimbulkan elemen curiga terhadap pemilihan semula terbabit.

Selasa lepas, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada Selasa dilaporkan berkata parti itu dalam proses menyiapkan dokumentasi dan satu sidang akhbar mengenainya dijangka diadakan dalam masa terdekat di ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.

Pada 17 Julai lalu DAP menerima surat daripada ROS yang mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula CEC.

Arahan itu dikeluarkan berikutan ROS masih belum menerima dan mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan oleh DAP pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013.

Terdahulu ketika berucap di majlis itu, Mohamad Razin berkata sehingga September lalu, sebanyak 2,357 persatuan di Pulau Pinang telah dibatalkan pendaftarannya kerana melanggar Akta Pertubuhan 1966 dan undang-undang pertubuhan.

Beliau berkata mengikut rekod jabatan, terdapat 4,870 pertubuhan yang masih aktif di negeri ini.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

VOIZ

Berita Terhangat