Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pensyarah antara 8 ditahan terlibat aktiviti pengganas

Seorang pensyarah undangan di institusi pengajian tinggi awam merupakan antara lapan lelaki ditahan disyaki terlibat dengan aktiviti kumpulan pengganas dalam operasi yang dijalankan pada 27 September hingga semalam di Selangor, Sabah dan Perak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata lelaki warganegara Albania berusia 35 tahun itu ditahan di Selangor oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman pada 1 Okt lepas kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan anggota kumpulan pengganas Daesh di luar negara.

Beliau berkata, polis turut menahan lima lelaki, masing-masing dua warganegara Filipina dan tempatan serta seorang pemastautin tetap dari Filipina berusia 30 hingga 53 tahun pada 27 Sept lepas di Sandakan, Sabah.

"Kelima-lima mereka disyaki terlibat dalam aktiviti membantu penyusupan masuk anasir-anasir pengganas Abu Sayyaf Group (ASG) ke Malaysia melalui Sabah. Operasi ini adalah susulan daripada tangkapan tujuh individu anasir sel ASG pada 14 Sept lepas di Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya tangkapan ketiga pada semalam melibatkan dua lelaki bekas banduan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 di Tapah, Perak yang pernah ditangkap pada 7 Feb 2013 kerana terlibat dalam aktiviti keganasan.

Katanya, suspek pertama berusia 53 tahun yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) juga pernah menjalani perintah tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (AKDN) selama tujuh tahun.

Menurutnya, suspek disyaki merekrut banduan di penjara Tapah untuk menganggotai kumpulan pengganas dan merancang melancarkan serangan ke atas rumah ibadat orang Islam, Kristian dan Hindu untuk mencetuskan konflik antara kaum dan agama di negara ini.

"Suspek juga disyaki melindungi maklumat mengenai salah seorang anggota Tandzim Al-Qaeda Malaysia (TAQM) yang dikehendaki polis dan masih bebas," katanya.

Manakala seorang lagi suspek berusia 37 tahun juga disyaki merekrut dua rakyat Malaysia untuk menganggotai kumpulan TAQM, katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS