Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng sengaja wujudkan perbalahan agama - Zambry

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan kenyataan-kenyataan yang dibuat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sengaja mewujudkan perbalahan agama di negara ini.

Beliau berkata Setiausaha Agung DAP itu cuba memainkan sentimen agama melalui kenyataan tidak betul dan menuding jari kepada Umno tetapi tindakan itu memakan dirinya.

"Dia hanya mencerminkan dirinya sendiri sebagai individu yang gemar menimbulkan provokasi dek kerana benci dan marah beliau kepada Umno, beliau keluarkan kenyataan sebegitu, orang hanya akan memomokkan (menentang) beliau,” kata Zambry yang juga Menteri Besar Perak.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan Deepavali Parlimen Lumut di Dewan Sekolah Tamil Wawasan Pundut di Tawau, hari ini.

Beliau mengulas catatan Lim dalam laman Twitter hari ini bahawa “Kuncu-kuncu Umno/PAS fitnah DAP komunis tapi bukan DAP, Umnolah yang ucap dalam Parti Komunis Cina. Siapa pengkhianat anti agama sekarang?”

Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor berkata rakyat boleh menilai dan mengetahui bahawa Umno sama sekali tidak pernah bersifat antiagama seperti yang didakwa Lim.

Sementara itu, beliau berkata seramai 1,500 masyarakat kurang berkemampuan dan golongan miskin sekitar Parlimen Lumut menerima sumbangan sempena Deepavali.

Sumbangan tahunan itu merupakan program berterusan bagi membantu menceriakan perayaan Deepavali selain tanda prihatin kerajaan negeri terhadap masyarakat India di Parlimen Lumut.

-Bernama

Lihat Komen
ADS