Satu kebakaran kecil dilapor berlaku di pusat membeli-belah terkemuka Mid Valley Megamall dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 malam.
Menurut Bernama, pengunjung cemas apabila kebakaran kecil berlaku di sebuah kedai serbaneka yang terletak di aras bawah bangunan itu.
Salah seorang saksi, Ruslan Yunus, 26, berkata ketika kejadian pengunjung berlari keluar dari aras berkenaan untuk menyelamatkan diri selepas ternampak asap tebal.
"Keadaan kecoh kerana ramai yang panik, mujur dua pekerja kedai berhampiran premis terbakar menggunakan alat pemadam api untuk mengawal kebakaran," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.
Tinjauan Bernama mendapati aras bawah pusat beli-belah berkenaan ditutup bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan.
Difahamkan, semua pengunjung diarah berkumpul di luar bangunan itu selepas arahan mengosongkan bangunan berkenaan dikeluarkan pada 7.28 malam.
Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.10 malam dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
"Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada 7.33 malam dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih lagi disiasat," katanya.
Seramai 24 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Pantai, Hang Tuah dan Seputeh dikerahkan ke lokasi kejadian, katanya. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
Kejadian berkenaan merupakan kali kedua berlaku di pusat beli belah berkenaan.
Pada 30 Mei lalu sebuah mesin faksimili di salah sebuah kedai di situ terbakar hingga mencetuskan suasana panik di kalangan pengunjung.
