Berita Malaysiakini

11 surau di N Sembilan jadi masjid

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sebanyak 11 surau di Negeri Sembilan akan dinaik taraf kepada masjid, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata kerajaan negeri sudah mengenal pasti surau-surau berkenaan untuk dinaik taraf, sekali gus membolehkan solat Jumaat dilaksanakan.

"Salah satu daripadanya yang akan kita isytiharkan masjid pada hujung bulan ini ialah surau di Seremban Jaya, di mana telah menjalani proses menaik taraf dan akan mendapat kelulusan dari Mufti Kerajaan Negeri bagi mendirikan solat Jumaat.

Hasrat kerajaan supaya masjid kembali memainkan peranannya supaya orang ramai datang ke masjid untuk menjiwai roh institusi berkenaan bukan hanya beribadat tetapi menjadikannya sebagai pusat komuniti," katanya di Majlis Perasmian Bangunan Surau Al Kausar Kampung Baru Blok B dan C Ampangan di Seremban, hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Ampangan Datuk Abu Ubaidah Redza dan Mufti Kerajaan Negeri Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Surau Al Kausar telah dilaksanakan penambahbaikan sebanyak tiga kali di atas tapak seluas 557.42 meter persegi..

Sebelum ini surau berkenaan yang dibina pada 1958, hanya berbumbungkan zink dan berdindingkan papan serta berkeluasan 55.74 meter persegi.

-Bernama