Paling Popular
Terkini

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa mengusulkan agar parti itu dan PAS “duduk semeja” bagi mencari titik persamaan demi kepentingan umat Islam.

Beliau berkata pertelagahan yang berterusan tidak membawa sebarang keuntungan kepada rakyat termasuk di Kelantan dan disebabkan itulah Umno dan PAS perlu lebih fleksibel dalam soal mencari titik persamaan.

"Jika PAS mahu bekerjasama atau membincangkan soal itu, Umno sebenarnya tiada apa-apa masalah,” katanya kepada pemberita pada majlis santai bersama media di Bachok malam tadi.

Annuar berkata walaupun Umno tidak boleh berkompromi dengan PAS dalam perkara-perkara tertentu, masih banyak perkara lain yang boleh dibuat bersama melalui konsep taawun (tolong-menolong dalam kebaikan) seperti dalam meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Sementara itu, Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata Umno kini bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Kita ingin menegaskan siapa-siapa (parti) yang menyokong DAP kita akan tentang seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan PKR.

"Bagi saya pada PRU-14 akan datang, mana-mana yang menyokong DAP kita wajib tentang kerana kita tidak mahu DAP 'menguasai' walaupun mereka tidak memerintah seperti yang berlaku di Selangor, " katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS