Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penghuni PPR Lembah Subang perlu henti bayar sewa pada KPKT
Diterbitkan:  Oct 8, 2017 2:45 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, di Lembah Subang sepatutnya menghentikan bayaran sewa mereka kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebaliknya menyalurkan ia kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata segala kerja-kerja penyelenggaran PPR itu masih di bawah kendalian MBPJ meskipun KPKT mendakwa sudah mengambil alihnya.

"Walaupun KPKT mendakwa telah mengambil alih PPR itu namun kerja-kerja pembersihan masih dilakukan oleh MBPJ.

"PPR tersebut masih di bawah MBPJ maka penduduk perlu membayar sewa mereka kepada MBPJ dan bukan KPKT," tegas Iskandar dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata sekiranya penghuni PPR itu masih meneruskan pembayaran masing-masing kepada KPKT mereka akan berdepan masalah.

"Jika penduduk membayar kepada KPKT dan kutipan sewa oleh MBPJ tidak mencukupi untuk menanggung kos penyelenggaran maka penduduk akan berhadapan dengan masalah kerana KPKT tidak akan melakukan penyelenggaraan," kata Iskandar.

Dua syarikat lantikan

Kata Iskandar, MBPJ telah menempatkan kakitangannya untuk kerja-kerja penyelenggaran di PPR tersebut.

"Terdapat lapan blok di PPR itu dan empat orang pekerja ditugaskan untuk membersihkan setiap blok tiap-tiap hari.

"Seorang pekerja akan membersihkan tingkat bawah seperti longkang-longkang sementara tiga orang pekerja di tingkat-tingkat atas," kata Iskandar.

Malah, Iskandar berkata MBPJ juga turut menempatkan pegawainya bagi kemudahan penghuni PPR berurusan dengan pihak berkuasa tersebut yang dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang.

"MBPJ mempunyai pejabat di Blok D yang diuruskan oleh empat kakitangan yang bertanggungjawab menerima aduan dan bayaran sewa dari penduduk," katanya.

Pada masa yang sama, Iskandar juga berkata semua lif di PPR itu diselenggara dua syarikat yang dilantik MBPJ, serta juruteknik dari jabatan kejuruteraannya pihak berkuasa tempatan itu.

Selain daripada mengekalkan kemudahan itu, Iskandar juga berkata bahawa MBPJ telah melaksanakan program kemasyarakatan untuk penduduk di PPR sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan penduduk bandar.

"Jadi MBPJ tidak hanya peduli terhadap kemudahan itu, tetapi juga masyarakat," kata anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka itu.

Sementara itu Iskandar mengakui pegawai Pesuruhjaya Bangunan (COB) di sesebuah pihak berkuasa tempatan di Selangor boleh ditakrifkan sebagai pegawai persekutuan.

Terhegeh-hegeh mengaku anak

Namun katanya tanpa sokongan dan polisi yang jelas daripada kerajaan negeri mereka tidak akan dapat berfungsi dengan cemerlang.

Iskandar berkata kerajaan persekutuan hanya menempatkan COB terbabit di Selangor tetapi kerajaan negeri yang menetapkan hala tuju untuk mereka.

"Kerajaan Selangor banyak memperkenalkan inisiatif baru untuk menyelesaikan masalah perumahan berstrata.

"Jika hendak diharapkan kerajaan persekutuan, kita mungkin akan ketinggalan 10 tahun," katanya.

Justeru kata Iskandar Selangor amat menghargai pegawai COB terbabit dan mereka menerima perhatian sama seperti pegawai kerajaan negeri.

Sebagai contohnya katanya tahun ini mereka menerima bonus dua bulan gaji daripada kerajaan Selangor, bukannya RM500 seperti pegawai kerajana pusat lain.

"Tan Sri Noh Omar (menteri KPKT) hanya mengaku mereka pegawai persekutuan setelah melihat pegawai terbabit berkhidmat dengan cemerlang.

"Semasa Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor pada 2008, pegawai-pegawai COB bagaikan anak ayam kehilangan ibu.

"Kerajaan negeri yang barulah menyusun semula struktur COB agar mereka dapat menjalankan tugas dengan lebih efektif," katanya.

Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) pula kata Iskandar memainkan peranan besar sebagai COB utama.

"Jelas sekali menteri KPKT bagaikan bapa yang lari daripada tanggungjawab apabila menyerahkan anak kepada orang lain.

"Apabila anak itu berjaya, terhegeh-hegeh pula mengaku itu anaknya," kata beliau.

Lihat Komen
ADS