Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tak boleh siasat Kit Siang
Diterbitkan:  Oct 8, 2017 3:24 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan agensi terbabit tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat individu atau parti politik yang terlibat dalam penerimaan dana politik.

Memetik laporan NST Online, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata setakat ini memang tiada lagi undang-undang yang memberi garis panduan bagi mengawal isu berkenaan.

“Parlimen belum lagi meluluskan undang-undang yang memberikan panduan kepada parti politik atau ahli politik dalam hal penerimaan dana politik.

"Akta SPRM 2009 juga tidak meliputi kesalahan yang berkaitan dengan politik wang," katanya.

Buat masa ini kata Azam undang-undang berkaitan dana politik masih di peringkat kajian dan isu itu ditangani sebuah jawatankuasa diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang membuat cabaran kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad baru-baru ini.

Kata Lim Dzulkifli perlu meletak jawatan jika gagal menemui maklumat berhubung dakwaan bloger Raja Petra Kamaruddin yang menuduh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad membayar wang bagi mendapatkan jawatan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Laporan yang disiarkan portal Malaysia Today itu mendakwa Dr Mahathir membelanjakan RM1 bilion supaya dilantik menjadi pengerusi HARAPAN.

Raja Petra juga mendakwa, sebagai balasan untuk pelantikan Dr Mahathir sebagai pengerusi HARAPAN Lim tidak akan bersuara mengenai skandal tukaran mata wang asing Bank Negara yang berlaku pada akhir 1980-an dan awal 1990-an lalu.

Bagaimanapun Dr Mahathir mendakwa hanya orang gila saja percaya beliau mempunyai wang sebanyak itu.

Mengulas lanjut, Azam berkata SPRM itu tidak akan menyiasat perkara berkenaan berikutan tiada laporan mengenainya dibuat kepada mereka.

“Ia bukan isu sama ada kita tahu atau tidak. Isu ini muncul di media sosial tetapi tiada siapa yang membuat laporan.

“Tetapi, apa yang kita tahu, ia bukan satu kesalahan di bawah undang-undang kita dan itulah sebabnya kami tidak membuka kertas penyiasatan mengenai perkara itu,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS