Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Pelajar India jadi mangsa jika meritokrasi penuh di IPTA

Masyarakat India bakal menjadi mangsa jika kerajaan mengizinkan kaedah meritokrasi penuh digunakan dalam pengambilan pelajar di institut pengajian tinggi awam (IPTA), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Dasar meritokrasi telah diperkenalkan bukan ketika zaman saya, tetapi zaman orang lain. Tetapi dasar ini tidak membantu masyarakat India," katanya ketika merasmikan perhimpunan agung ke-25 parti Barisan Progresif India (IPF) di Serdang, hari ini.

Sistem meritokrasi di IPTA diperkenalkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2002, dilaporkan atas tujuan meningkatkan persaingan sihat bagi pelajar Melayu.

Namun Najib tidak menyebut nama Dr Mahathir secara khusus dalam ucapannya.

Najib turut mengumumkan yang kerajaan akan memperuntukkan 1,500 tempat dalam program matrikulasi kepada kaum India.

Buat pertama kalinya kita memperuntukkan 1,500 tempat dalam program matrikulasi untuk pelajar India, belum pernah kita lakukan sebelum ini.

"Malah baru-baru ini saya telah mengarahkan 700 tempat tambahan di IPT kepada pelajar India. Saya sedar penyertaan masyarakat India di peringkat pengajian tinggi masih rendah," katanya.

Katanya lagi, jika kerajaan membiarkan sahaja keadaan itu, penyertaan pelajar India di IPT mungkin serendah tiga atau empat peratus, berbanding tujuh peratus pada masa ini.

"Jika kita membiarkan dasar meritokrasi dilaksanakan sepenuhnya, maka yang akan menjadi mangsa adalah masyarakat India," katanya.

Pembangkang tak hargai kaum India

Mengalih sasarannya kepada Pakatan Harapan (HARAPAN), Najib berkata pembangkang tidak menghargai peranan yang dimainkan masyarakat India, justeru gagal merangka pelan tindakan untuk mereka.

"Pembangkang tiada agenda dan perancangan khusus jika dibandingkan dengan kerajaan BN.

"Sampai sekarang kita (juga) tidak tahu siapa 'taukeh' besar dalam pembangkang. Hakikatnya mereka tiada persefahaman antara satu sama lain, mereka hanya ada satu tujuan sahaja, untuk jatuhkan kerajaan," katanya,

Justeru, katanya lagi, jika HARAPAN mentadbir negara, ia akan membawa ketidakstabilan dan memberikan akibat buruk kepada negara dan rakyat.

Sementara itu, Presiden IPF Datuk M Sambanthan menyatakan ikrar 'nambikei' (yakin) terhadap kepimpinan Najib dan menyatakan akan menyokong calon BN, termasuk daripada MIC, pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau menggesa Najib menerima permohonan IPF sejak 27 tahun lalu, iaitu menjadi anggota BN.

MIC sebelum ini dengan tegas menolak sebarang usaha ke arah itu.

Sambanthan yang juga seorang senator turut meminta Najib mempertimbang untuk meletakkan pemimpin IPF sebagai calon BN pada PRU akan datang, selain menambah sehari lagi cuti umum bagi perayaan Deepavali.

Najib tidak memberi maklumbalas secara langsung berhubung permintaan itu.

Berhubung dakwaan IPF yang sesetengah parti komponen BN enggan bekerjasama dengan parti itu, Najib berkata beliau akan membincangkan perkara itu dengan pemimpin yang berkenaan.

"Ini bukan salah pengerusi BN. Saya perlu kerjasama rakan-rakan lain, supaya IPF diberi lebih pengiktirafan di semua peringkat," katanya.

Lihat Komen
ADS