Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azeez hadiah 6,000 sari, kurta sempena Deepavali

Sempena sambutan Deepavali tidak lama lagi, Parlimen Baling menyumbang sari dan kurta kepada lebih 6,000 penduduk India di daerah itu.

Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata acara tahunan itu, yang diadakan buat kali kelapan, bertujuan membantu meringankan kos perbelanjaan kaum India dalam meraikan perayaan itu.

"Hari ini adalah acara kemuncak di mana lebih 3,000 penduduk India menerima sumbangan. Secara keseluruhan, kita membelanjakan lebih RM700,000 bagi sumbangan ini termasuk pemberian wang tunai dan hamper makanan.

"Tahun ini, kita memberinya kepada setiap orang kerana mahu setiap isi rumah mendapat sumbangan yang diberi," katanya kepada media selepas Program Perpaduan Masyarakat India 2017 dan Penyampaian Sumbangan bersempena Deepavali di Kuala Ketil, Kedah, hari ini.

Beliau berkata saban tahun, pihaknya berusaha menambah baik dan meningkatkan pemberian sumbangan agar dapat disampaikan dengan sama rata tanpa mengira fahaman politik dan kaum.

Abdul Azeez berkata sempena Deepavali tahun ini, lebih 100 rumah masyarakat India turut dibaik pulih dan pemberian pelbagai bantuan termasuk kerusi roda kepada yang memerlukan.

"Ia akan terus dilakukan walaupun bukan musim perayaan kerana ia adalah komitmen kami dalam memberi yang terbaik kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu, Puspathi Valoo, 53, berkata dia amat terharu apabila menerima pemberian sumbangan tersebut.

"Saya amat gembira sekali kerana ibu, Kutamah Perumal, 77, yang lumpuh sejak beberapa tahun lalu juga turut menerima sumbangan.

Pemberian ini amat bermakna bagi kami kerana ia dapat menampung perbelanjaan dapur dan dapat menyambut perayaan Deepavali dengan lebih meriah," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS