Polis siasat laporan FBI mengenai pembiaya letupan Movida
Bukit Aman sedang dalam proses mengesahkan laporan siasatan FBI Amerika Syarikat yang mendakwa bedah ortopedik Filipina, Dr Russell Salic, 37 tahun yang dikaitkan membiayai serangan pertama di Malaysia dengan unsur-unsur IS, didapati tinggal di Filipina.
The Malay Mail Online memetik Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun sebagai berkata pihaknya mengambil serius laporan FBI, sebahagian daripada pemfailan mahkamah, yang dikaitkan dengan serangan bom di kelab malam Movida di Puchong pada 28 Jun tahun lalu.
"Sebenarnya, kami tidak mempunyai butirannya, dan kami tidak boleh mengatakan ya atau tidak, kecuali kami dapat merakamkan kenyataan Dr Salic untuk maklumat lanjut.
"Kami akan menyemak dan menyiasat kerana ini adalah pertuduhan, perkara sangat serius, saya tidak dapat mengesahkan pada masa ini," katanya.
"Ia adalah proses panjang, bukan sesuatu yang mudah," katanya ketika ditanya sama ada Bukit Aman akan berusaha mengekstradisi Salic.
Salic berada di bawah tahanan polis di Filipina sejak April lalu, di mana beliau dijangka menghadapi beberapa siri pertuduhan berkaitan keganasan, termasuk penculikan enam pekerja kilang papan Filipina dan memancung kepala dua daripada tebusannya itu tahun lalu.
Beberapa agensi berita di AS, UK dan Filipina dilaporkan memetik pemfailan mahkamah AS yang menamakan Salic - juga dikenali sebagai "Abu Khalid" atau "The Doctor" - sebagai pembiaya aktiviti keganasan global yang lain.

