Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tembak lelaki lari dari sekatan jalan raya

Pihak polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki yang dipercayai cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya di Jalan Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.15 pagi itu, suspek yang berumur 33 tahun yang memandu kereta jenis Honda City telah membuat pusingan U.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata kereta peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur lalu mengejar suspek sehingga kawasan Kampung Kayu Ara sebelum suspek memandu semula ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

“Suspek bertindak memandu secara melawan arus di LDP dan menghala ke Puchong, kemudian kereta suspek melanggar bahu jalan dan berhenti.

“Dia kemudian cuba melarikan diri dengan memanjat pembahagi jalan untuk masuk ke persimpangan Jalan SS2/75,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Zani berkata anggota polis melepaskan satu das tembakan dan terkena pada bahagian belakang badan suspek.

Katanya pemeriksaan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah berhubung kes pecah rumah dan curi kenderaan, malah semakan rekod kereta yang digunakan suspek juga mendapati kereta itu dilaporkan dicuri di Damansara.

Beliau berkata suspek telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menerima rawatan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS