Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Permohonan Najib, 1MDB, k'jaan batal saman Ezam - 22 Nov

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 22 November bagi mendengar permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan saman AS$3.66 bilion oleh bekas senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor.

Terdahulu Najib dilapor memfailkan permohonan itu pada Julai lalu, sementara 1MDB dan lembaga pengarahnya, yang juga dinamakan dalam saman itu, memfailkan permohonan mereka bulan Ogos.

Ezam memfailkan saman April lalu, mendakwa Najib dan sembilan bekas pengarah 1MDB telah melanggar tugas fidusiari mereka, dan menuduh mereka dengan sengaja menyebabkan "kerugian salah" sebanyak AS$3.66 bilion.

Bekas ketua Pemuda PKR itu memfailkan saman itu mewakili semua rakyat Malaysia dan berjanji untuk mengembalikan dana itu kepada 1MDB.

Najib didakwa atas kepasitinya sebagai menteri kewangan dan ketua eksekutif kerajaan.

Yang lain dinamakan sebagai defendan termasuk Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy, serta dua pengarah dan sembilan bekas pengarah 1MDB.

Pengarah-pengarah 1MDB sekarang ialah Datuk Kamal Mohd Ali dan Datuk Norazman Ayob manakala bekas pengarah Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Ashvin Jethanand Valiram, Mohd Hazem Abd Rahman @ Mohamed, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Tan Sri Azlan Mohd Zainol dan Tan Sri Tengku Rahimah Al-Marhum.

Saman AS$3.66 bilion yang difailkan Ezam termasuk menuntut AS$1.03 bilion yang dipindahkan ke Good Star Ltd dan digunakan untuk usaha sama dengan Petro Saudi International Ltd, AS$1.367 bilion yang dibayar kepada Aabar BVI dan AS$1.26 bilion yang dibayar kepada Tanore Finance Corporation.

Ezam diwakili oleh Farez Jinnah.

Selain saman ini, Najib juga menghadapi saman bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim dan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang kedua-duanya berkaitan dengan 1MDB.

Sebelum ini, Najib berjaya membatalkan saman misfeasans yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Anina Saadudin dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, yang kini sedang menunggu rayuan.

Lihat Komen
ADS