Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Polis menumpaskan kumpulan 'Ah Hau' dianggotai enam individu yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan pecah rumah di sekitar Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata empat lelaki dan dua wanita berusia 30-an itu ditahan di sebuah hotel di Chemor, Perak pada 29 Sept lepas.

Menurutnya, soal siasat terhadap suspek membawa kepada penemuan pelbagai barangan curi dianggarkan bernilai RM200,000 yang disembunyikan di sebuah rumah di Cheras.

"Antara barang yang dirampas ialah tiga buah kereta, 35 utas jam tangan, kamera serta peralatan pecah rumah.

"Kami percaya tangkapan ini berjaya selesaikan 10 kes pecah rumah serta curi kenderaan melibatkan kumpulan ini di sekitar Selangor," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di Serdang, hari ini.

Megat Mohd Aminuddin berkata tiga daripada suspek lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah termasuk di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1956 (Poca).

"Seorang daripada suspek memakai alat Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) namun suspek tidak melapor diri ke balai polis seperti dikehendaki," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek akan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS