Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ia bukan pesta dadah'
Diterbitkan:  Oct 9, 2017 3:12 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Peguam dan aktivis Siti Kasim sehingga hari ini konsisten dengan pendiriannya yang orang Melayu dan Islam tidak seharusnya membantah sebarang acara yang membabitkan minuman keras, memandangkan mereka tidak pernah dipaksa untuk menyertainya.

Baginya, isu tersebut bukan sangat tentang penganjuran acara itu sendiri, sebaliknya hak orang bukan Islam sebagai warganegara.

"Ini tentang hak rakyat Malaysia yang bukan Melayu dan Islam. Bukannya ada paksaan kepada orang Melayu untuk pergi minum

"Mengapa kita nak tindas hak mereka yang dibenarkan di sisi undang-undang? Jika ia pesta dadah tentulah kita bantah, sebab ia haram dan salah di sisi undang-undang," katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Penganjuran dua acara melibatkan minuman keras - Better Beer Festival 2017 dan pesta makanan dan minuman Jerman -  terus menjadi polemik.

Pihak yang membantahnya berkata ia tidak menghormati sensitiviti orang Melayu dan status Islam sebagai agama persekutuan, manakala pihak yang menyokongnya menggunakan hujah ia adalah hak warga.

Namun, Ketua Wanita Parti AMANAH Negara (AMANAH) Dr Siti Mariah Mahmud sebelum ini berkata, pesta tersebut dibantah kerana ia merupakan satu bentuk promosi kepada minuman keras, bukannya bertujuan menyekat hak warga bukan Islam.

Siti Kasim berkata lagi, isu tersebut telah dipolitikkan sesetengah pihak bagi mengalihkan perhatian rakyat daripada isu negara yang lebih penting.

Katanya, ia terbukti apabila acara seumpama itu sudah diadakan sejak dulu, namun tidak menerima bantahan seperti hari ini.

"Kenapa sekarang tiba-tiba (ada pihak) ingin menjadi juara agama?

"Saya harap rakyat Malaysia sedar, ini bukan sebab kita orang Melayu (lalu) terlalu sensitif. Orang Melayu bukan bodoh dan senang dipermainkan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS