Venezuela bebaskan tiga wartawan yang dipenjara
Tiga wartawan lelaki, dua daripadanya warga asing, yang ditahan ketika melakukan lawatan sambil kerja ke sebuah penjara, telah dibebaskan pada Ahad selepas dihadapkan ke mahkamah, kata kesatuan pekerja media Venezuela SNTP.
Jesus Medina, Filippo Rossi dan Roberto Di Matteo telah dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan, kata SNTP di Twitter.
Rossi adalah warganegara Switzerland manakala Di Matteo warganegara Itali.
Ketiga-tiga lelaki telah ditahan pada Sabtu oleh ejen kementerian berkaitan di Penjara Tocoron yang terletak di negeri Aragua, di mana mereka sedang membuat liputan.
SNTP berkata Medina, Di Matteo dan Rossi ditahan atas dakwaan membawa peralatan rakaman audio-visual ke penjara itu tanpa kebenaran namun siasatan mendapati mereka sebenarnya telah mematuhi semua peraturan.
Tocoron merupakan antara penjara yang masih belum melaksanakan garis panduan baharu yang didakwa oleh kementerian terbabit bertujuan “menenteramkan” keadaan di jel yang terkenal dengan keganasannya itu di Venezuela.
Pelbagai media telah melaporkan bahawa penghuni Tocoron berupaya mengarahkan penculikan, perlindungan dan aktiviti pasaran gelap dari dalam penjara.
-Bernama

