Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hubungan sulit dipercayai motif lelaki dibunuh

Seorang lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai Horiri ditemui mati dengan tiga kesan tikaman dipercayai dibunuh di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan kondominium di Kampung Batu Muda, Jinjang, di Kuala Lumpur Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan mayat pekerja buruh binaan berusia 32 tahun itu pada kira-kira 6.40 petang.

"Hasil bedah siasat forensik Hospital Kuala Lumpur mendapati mangsa mati akibat ditikam pada bahagian dada selain tikaman pada leher dan belakang badan.

"Polis juga menemui pisau berukuran 26 sentimeter di tempat kejadian," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Munusamy berkata siasatan awal polis mendapati mangsa tinggal di tapak pembinaan itu bersama abangnya serta sepasang suami isteri berusia 30-an sejak dua bulan lepas.

"Motif pembunuhan dipercayai disebabkan cemburu berdasarkan hasil soal siasat yang mendapati mangsa mempunyai hubungan sulit dengan wanita yang tinggal bersama mereka.

"Sebelum ini, suami wanita itu juga pernah memberi amaran kepada abang mangsa mengenai hubungan sulit mangsa bersama wanita berkenaan," katanya.

Beliau berkata polis kini giat mengesan wanita itu yang dikenali sebagai Yamyat dan suaminya Kasnawi yang kini telah menghilangkan diri.

Katanya polis percaya suami isteri itu masih berada di negara ini dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka supaya menghubungi pegawai penyiasat ASP Farokh Faisal Ahmad di talian 017-7762991.

Munusamy berkata kesemua warga Indonesia itu telah berada di negara ini sejak enam bulan lepas dan mempunyai dokumen perjalanan yang sah namun mangsa mula tinggal bersama mereka sejak dua bulan lepas berikutan bekerja di Bukit Jelutong, Selangor sebelum ini.

-Bernama

Lihat Komen
ADS