Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini, mengikuti prestasi bercampur-campur bursa Asia yang lain yang mengambil petunjuk daripada kelemahan Wall Street semasa ditutup.

Pada pukul 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.25 mata kepada 1,760.74 daripada 1,764.03 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks dibuka 3.34 mata lebih rendah pada 1,760.69.

Di pasaran, saham untung mengatasi saham rugi pada 140 berbanding 70, dengan 174 kaunter tidak berubah, 1,851 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 169.65 juta saham bernilai RM49.99 juta.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Alliance DBS Research berkata pasaran ditutup tinggi pada 1,765.48 semalam tetapi indeks penanda aras tidak begitu tinggi setelah pelabur berhati-hati.

Ketiadaan aliran berita positif, pasaran berkemungkinan kekal tidak menentu setakat ini, katanya.

"Berikutan pasaran ditutup tinggi semalam, usaha membeli dijangka berlaku sekali lagi,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals menokok enam sen kepada RM7.39, TNB susut dua sen kepada RM14.22, Public Bank berkurangan dua sen kepada RM20.52, manakala Maybank dan Sime Darby kekal, masing-masing pada RM9.55 dan RM9.12.

Antara saham aktif, M3 Technologies dan Hibiscus Petroleum menambah dua sen setiap satu, masing-masing kepada 14 sen dan 70.5 sen, Malayan United Industries menokok satu sen kepada 19 sen manakala Borneo Oil dan Vivocom tidak berubah, masing-masing pada 9.5 sen dan 14 sen.

Indeks FBM Emas susut 13.41 mata kepada 12,580.86, Indeks FBMT 100 turun 13.80 mata kepada 12,230.65 dan Indeks FBM Emas Syariah kurang 4.43 mata kepada 12,850.31.

FBM Ace naik 24.46 mata kepada 6,785.41 dan FBM 70 meningkat 16.88 mata kepada 15,129.11

Mengikut sektor pula, Indeks Perladangan menambah 11.96 mata kepada 7,927.26 dan Indeks Perusahaan menokok 3.24 mata kepada 3,216.57.

Indeks Kewangan susut 47.89 mata kepada 16,522.24.

- Bernama