Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kit Siang akan jadi PM seterusnya, kata Salleh
Diterbitkan:  Oct 10, 2017 11:55 AM
Dikemaskini: 5:20 AM

Mengikut kelazimannya pemumpin supremo DAP Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri seterusnya atau memutuskan calon perdana menteri jika Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana DAP mempunyai bilangan kerusi parlimen terbesar dalam gabungan pembangkang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dalam blognya hari ini.

Beliau menyangkal kenyataan Lim (foto) pada 8 Oktober lalu yang berkata bahawa beliau tidak pernah menanam cita-cita untuk menjadi perdana menteri Malaysia, dan merasakan tidak akan ada perdana menteri dari kalangan orang bukan Melayu pada abad ini.

"Beliau tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa dirinya adalah pemimpin de facto DAP dan DAP, dengan jumlah kerusi terbesar, menentukan segala-galanya dalam HARAPAN," kata bendahari Umno itu.

"Ini bermakna beliau yang memutuskan siapa akan menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan selaku pemimpin de facto parti yang mempunyai bilangan kerusi terbanyak, pilihan tepat untuk perdana menteri ialah Kit Siang sendiri," katanya.

Menurut Salleh, Lim dengan bijak mengketepikan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan tertinggi itu dan berjaya memperkudakan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk cita-cita politiknya.

"Sebab itulah Dr Mahathir sangat sensitif berhubung isu itu dan setiap kali ada pihak bercakap tentang Kit Siang menjadi perdana menteri, beliau akan jadi orang pertama menafikan dakwaan tersebut dan mempertahankan Kit Siang," katanya.

Beliau berkata Lim adalah orang yang bertanggungjawap menyebakan Pakatan Rakyat terbubar dan memutuskan hubungan dengan PAS walaupun PKR agak tidak rela berbuat demikian.

"Sejarah mereka penuh dengan contoh di mana Kit Siang dan bukannya Pakatan Rakyat yang memutuskan apa yang berlaku.

"Ini akan berulang dalam isu siapa jadi perdana menteri sekiranya Pakatan menang PRU. Ini dibuktikan oleh rekod Pakatan sendiri," kata Salleh," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS