Paling Popular
Terkini

Dakwaan mengenai wujudnya ahli PAS keluar parti dan menyertai Umno di Kelantan ternyata tidak mengusarkan pimpinan parti itu di Kelantan.

Malah, Setiausaha PAS Negeri Datuk Che Abdullah Mat Nawi menganggap dakwaan itu sebagai perkara biasa yang menandakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir.

"Apabila kita semak, mereka ini (ahli) yang memang bermasalah. Yang selalu ada masalah dengan wakil rakyat sebelum ini dan wakil rakyat baru. Tapi dalam parti bermasalah macam mana pun kita tetap jaga.

"Bila tiba musim pilihan raya, adalah yang dipujuk (masuk Umno) tetapi tidaklah dengan jumlah seperti diperbesarkan," katanya pada sidang media di Kota Bharu, semalam.

Pada Jumaat lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan menerima borang keahlian oleh 50 bekas ahli PAS di Pasir Mas dan menjangkakan lebih ramai pengundi negeri itu mengikuti langkah tersebut.

Mengulas lanjut, Che Abdullah yang juga adalah ADUN Wakaf Bharu berkata, pihaknya tidak pernah gusar dengan dakwaan tersebut kerana tindakan ahli keluar parti bukan sesuatu yang pelik.

"Tetapi PAS tak pandang mudah kerana bagi kita setiap orang pengundi cukup penting, memang ada segelintir yang kecewa dengan macam-macam sebab, cuma kalau jauh dengan pilihan raya, isu itu tidak dibangkitkan.

"Sebaliknya bila menjelang pilihanraya, perkara seperti itu diberi tumpuan," katanya.

Ditanya mengenai persedaian senarai calon PRU14 nanti, Che Abdullah menegaskan PAS Kelantan sentiasa bersedia

Katanya, persiapan itu seperti masyarakat bersedia menjelang sambutan hari raya dan PAS sentiasa bersedia mengikuti keputusan yang dibuat di peringkat pusat.

“Kita memang menyediakan calon di semua 45 kerusi DUN, memang kita sediakan calon, kecuali jika ada perubahan tertentu,” katanya.

Lihat Komen
ADS