CJ: Pelupusan kes komersial lebih cepat dari Singapura
Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif berkata garis masa mengenai pelupusan kes-kes komersial menunjukkan bahawa 96 peratus kes yang difailkan selesai dalam tempoh sembilan bulan.
Bercakap pada majlis makan tengah hari anjuran Malaysian Press Institute, di Kuala Lumpur, pegawai kehakiman tertinggi di negara ini berkata pencapaian negara mengatasi Singapura.
"Saya dimaklumkan oleh hakim bahagian perdagangan bahawa 96 peratus daripada kes dilupuskan dalam tempoh sembilan bulan.
"Ini satu kejayaan dalam sejarah badan kehakiman dan pencapaian yang boleh dibanggakan. Malah, Singapura pun tidak dapat menyamai prestasi kita dalam melupuskan kes-kes komersial, garis masa mereka adalah 18 bulan," kata Md Raus.
Secara berseloroh, ketua hakim itu berkata, atas sebab ini, beliau memerlukan media untuk “mengiklankan" kejayaan mahkamah Malaysia.
Sehingga 30 Sept tahun ini, beliau berkata, terdapat hanya 818 kes yang tertangguh di mahkamah komersial. Daripada jumlah tersebut, 717 difailkan tahun ini, namakala 72 difailkan tahun lalu, dan baki 35 lagi kes sebelum 2016.
Raus mengiktiraf sumbangan ketua hakim sebelum ini, Tun Zaki Azmi, yang berjaya mentransformasi badan kehakiman dengan melupuskan kes-kes tertunggak.

