Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Abdul Rahman mengakui pertelingkahannya dengan bekas naib presiden Datuk Hamidah Osman yang bermula beberapa bulan lalu, adalah salah faham.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pertemuan dengan adik Hamidah, Hamizura, di Petaling Jaya hari ini.

Anggota jawatankuasa Wanita PKR Syarul Ema Rena Abu Samah, atau lebih dikenali dengan nama 'Ratu Naga' di media sosial, hadir sebagai orang tengah.

"Perbincangan untuk menerangkan yang bagaimana di peringkat awal, saya yakin Syed Saddiq tidak mendapat maklumat tepat kerana tiadanya komunikasi.

"Saya rasa Syed Saddiq hanya mendengar cerita dari satu pihak, dan tidak pernah cuba mendapatkan cerita daripada satu pihak lagi," kata Hamizura selepas pertemuan itu yang berlangsung lebih sejam.

Syed Saddiq pula berkata, beliau akan bertemu dengan Hamidah untuk memulihkan hubungan mereka.

"Ini cara terbaik untuk menyelesaikan isu ini. Ia bukan sahaja isu parti, tetapi silaturahim yang begitu baik sejak tertubuhnya BERSATU.

"Saya akan jumpa bukan sahaja Hamizura, tetapi Datuk Hamidah untuk menyelesaikan isu ini seluruhnya. Jika ada tindakan lain, saya tetap menghormati tindakan Datuk Hamidah seperti yang saya nyatakan sebelum ini.

"Insya-Allah, kita boleh bergerak ke hadapan dan tumpu isu yang lebih mustahak," katanya lagi.

Hamidah yang merupakan salah seorang pengasas BERSATU meletakkan jawatan pada 16 September lalu, selepas dituduh menjadi dalang kepada desakan dalaman parti agar presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Syed Saddiq sebelum ini menuduhnya sebagai ejen Umno.

Beliau juga mendakwa wujudnya konspirasi untuk mengancam dan menyogok dirinya dan pemimpin BERSATU yang lain termasuk Hamidah, untuk melemahkan parti itu.

Hamidah telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan itu.

Syed Saddiq juga memohon maaf atas beberapa kenyataan yang pernah dikeluarkan sebelum ini.

Hamizura berkata, Syed Saddiq sepatutnya mengadakan perbincangan secara panjang lebar dengan Hamidah sebelum menuduhnya menjadi ejen Umno, dan ketika beliau mendengar yang Hamidah terlibat dalam dakwaan sogokan itu.

Katanya, ini kerana mereka berdua berada dalam parti yang sama.

Lihat Komen
ADS