Paling Popular
Terkini

Penahanan dua pemimpin utama Parti Warisan Sabah (WARISAN) berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti tidak menjejaskan moral para penyokong parti itu.

Malah, jumlah penyokong WARISAN yang hadir bersolidariti terhadap penahanan pemimpin mereka semakin bertambah, seperti yang disaksikan di kompleks mahkamah di Kota Kinabalu hari ini.

Ratusan penyokong WARISAN membanjiri kompleks mahkamah menunggu Ketua Pemuda WARISAN Mohd Azis Jamman, yang direman lima hari, dan Naib Presiden WARISAN Peter Anthony yang dilanjutkan tahanan remannya tiga hari selepas lima hari ditahan.

Penahanan kedua-dua pemimpin WARISAN itu dikatakan berhubung siasatan SPRM ke atas dakwaan penyalahgunaan dana dari projek yang seharusnya dijalankan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Presiden parti itu Mohd Shafie Apdal menerajui kementerian itu sebelum dipecat dalam rombakan Kabinet dua tahun lalu.

Sementara WARISAN bakal menyambut setahun penubuhannya, beberapa pihak menganggap penahanan beberapa orang kanan Shafie merupakan tanda parti itu kini dilihat sebagai ancaman.

Nasib Shafie berhubung siasatan SPRM itu yang sedang berlangsung masih tidak jelas, namun bekas pemimpin Umno itu mengingatkan penyokongnya bahawa parti WARISAN bukanlah tentang dirinya semata-mata.

“Sokong WARISAN bukan sebab Shafie, sokong WARISAN bukan sebab saya suku Bajau atau sebab saya Muslim.

“Apa yang penting bukan saya, tapi rakyat Sabah,” kata Shafie dalam ucapannya dalam sebuah program di Tenom, Sabah pada Sabtu lalu.

Naib presiden parti itu Junz Wong turut mengulangi mesej sama dan percaya WARISAN mempunyai pemimpin yang cukup untuk meneruskan perjuangan.

“Parti ini bukan tentang satu atau dua orang tertentu, ia tentang rakyat Sabah dan perjuangan semestinya akan diteruskan,” katanya kepada Malaysiakini sambil menegaskan penahanan Shafie sekalipun tidak akan ubah pendirian mereka.

“Jika Shafie ditahan, moral (penyokong) akan semakin tinggi, (dan mereka) akan memenuhi seluruh taman ini,” katanya merujuk hadirin di kompleks mahkamah.

“Jika anda melihat mereka yang hadir hari ini, anda tidak boleh bezakan sama ada mereka Muslim, Dusun atau Cina.

“Rakyat Sabah sedang bersatu. Dengan sikap mereka ini akan menguatkan lagi persepsi bahawa WARISAN satu-satunya parti yang boleh mengalahkan Barisan Nasional,” katanya.

[Berita penuh]

Lihat Komen
ADS