Kecekapan 35 anggota bomba berjaya menghentikan kebocoran gas ammonia dari sebuah kilang air batu di Lot 5 Kr Industrial Park Penampang, di Penampang semalam.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Khairul Azuwan Ibrahim berkata pihaknya yang menerima panggilan kira-kira jam 4 petang, menghantar anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.
Beliau berkata Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari BBP Kota Kinabalu turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu menghentikan kebocoran gas ammonia dari kilang terbabit.
"Pasukan Bomba membuat pengosongan premis dan sekitar kawasan kejadian seluas 300 meter persegi. Pasukan Hazmat telah berjaya menutup valve yang menyebabkan punca kebocoran gas tersebut.
"Operasi tamat pada kira-kira 8.35 malam," katanya ketika dihubungi Bernama.
Katanya terdapat seorang mangsa yang merupakan pekerja kilang berhampiran dipercayai terhidu gas tersebut, dan telah pun menerima rawatan daripada pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
- Bernama
