Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan merancang untuk menampilkan naib presidennya Datuk Husam Musa bersama-sama Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam program dialog Disember depan.

Pengerusi AMANAH Kelantan Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata, ia bagi membincangkan isu masa depan politik Malaysia.

"Saya akan tampilkan Khairy Jamaluddin bersama Husam untuk sesi dialog sempena majlis makan malam yang akan kita adakan di Kuala Lumpur nanti.

"Saya sendiri sedang usahakan saya perjumpaan dengan Khairy dan kita akan menjemput beliau. Kita pilih beliau (Khairy) sebagai tokoh muda yang dilihat akan mewarisi kepimpinan Umno," katanya kepada Malaysiakini di Majlis Makan Malam Ambang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) anjuran AMANAH Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh, malam tadi.

Beliau pada mulanya mengumumkan perkara itu dalam ucapannya di majlis tersebut.

Jika ia berjaya dilaksanakan, ia bakal menjadikan program pertama yang menampilkan pemimpin dua parti itu di satu pentas yang sama.

Ditanya jika jemputan itu tidak disambut Khairy, Wan Abd Rahim berkata beliau akan bertemu secara peribadi dengan menteri belia dan sukan itu.

Namun, beliau yakin program itu dapat dijayakan kerana menurutnya Khairy merupakan satu-satunya menteri yang berani.

"Siapa menteri di Malaysia ini yang berani? Dalam banyak-banyak menteri BN, hanya ada seorang saja yang saya nampak," kata bekas speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu lagi.