GLOBAL l Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyarankan dicabar lesen penyiaran bagi NBC dan rangkaian berita yang lain berikutan laporan NBC News bahawa setiausaha negaranya telah memanggilnya "dungu" selepas satu perbincangan mengenai senjata nuklear Amerika Syarikat.

"Dengan semua berita palsu yang datang dari NBC dan rangkaian lain, bilakah masa yang paling sesuai untuk mencabar Lesen mereka? Buruk untuk negara!" tulis Trump di Twitter pada hari Rabu.

Trump dan penyokongnya telah mengulangi penggunaan istilah "berita palsu" untuk menimbulkan keraguan terhadap laporan media yang kritikal terhadap pentadbirannya, dan sering tanpa memberikan sebarang bukti bahawa laporan itu tidak benar.

Trump terus mengkritik media dalam penampilannya dengan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, dengan mengatakan: "Jelas sekali menjijikkan akhbar itu dapat menulis apa sahaja yang ingin ditulisnya."

Dalam satu tweet lewat hari Rabu, Trump berkata: "Rangkaian berita telah menjadi sangat partisan, putarbelit dan pemalsuan, maka lesen (mereka) mesti dicabar dan, jika sesuai, dibatalkan. Tidak adil kepada orang awam!"

Sebarang langkah untuk mencabar lesen syarikat media, bagaimanapun, mungkin berdepan dengan halang yang besar.

Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC), sebuah agensi persekutuan yang bebas, tidak melesenkan rangkaian penyiaran, tetapi mengeluarkannya kepada stesen penyiaran individu yang diperbaharui secara berperingkat untuk tempoh lapan tahun.

Comcast Corp, yang memiliki NBC Universal, juga memiliki 11 stesen penyiaran, termasuk cawangan di New York, Washington, Los Angeles, San Francisco, Boston, Dallas dan Chicago.

Seorang jurucakap Comcast merujuk soalan itu kepada NBC, yang tidak memberi respons segera.

ABC, yang dimiliki oleh Walt Disney Co, enggan mengulas.

Saham syarikat media merosot, yang dilihat mencerminkan kebimbangan terhadap perang mulut itu boleh menjadi semakin buruk.

Saham Comcast merosot 0.8 peratus, manakala Disney jatuh 1.4 peratus, CBS Corp jatuh 1.2 peratus dan Twenty-First Century Fox merosot 2.8 peratus.

Penganalisa Analytics Recon, Roger Entner menganggap respons pasaran itu sebagai "reaksi jangka pendek" dan berkata Trump berdepan dengan halangan yang cukup besar untuk membatalkan lesen berkenaan.

Seorang jurucakap bagi pengerusi FCC, Ajit Pai tidak memberi komen segera mengenainya.

Gordon Smith, ketua eksekutif Persatuan Kebangsaan Penyiar, mempertahankan hak kebebasan bersuara media.

"Ia bertentangan dengan hak asasi ini untuk mana-mana pegawai kerajaan mengancam pembatalan lesen FCC semata-mata kerana tidak setuju dengan laporan wartawan," kata Smith dalam satu kenyataan.

ABC, yang dimiliki oleh Walt Disney Co, enggan mengulas. Ramai ahli Demokrat mengkritik Trump dan meminta Pai mengecam komen Trump itu.

Senator Ed Markey menulis kepada Pai pada hari Rabu meminta beliau untuk "berdepan dengan sebarang gesaan oleh Presiden Trump untuk membahayakan media berita dan melanggar First Amendment," merujuk kepada jaminan kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar dalam Perlembagaan AS.

Wakil Demokrat AS Frank Pallone berkata Trump "dilihat mengancam lesen penyiar hanya karena dia tidak setuju dengan laporan mereka. Ancaman ini dapat menakutkan pihak media dan membawa kepada laporan yang tidak adil.

Pesuruhjaya FCC Jessica Rosenworcel pula, dalam responsnya, menghantar tweet yang disambung kepada satu pautan kepada lembaran fakta FCC. "Bukan begitu ia berfungsi," katanya di Twitter.

Apabila mengkaji semula lesen, FCC mesti memutuskan sama ada pembaharuan itu adalah demi kepentingan awam, menurut lembaran fakta agensi di laman webnya.

FCC berkata dalam lembaran fakta itu bahawa ia mengharapkan "stesen pemegang lesen itu menyedari masalah dan isu penting yang dihadapi komuniti tempatan mereka dan untuk memupuk pemahaman orang ramai dengan menyampaikan pengaturcaraan yang berkaitan dengan isu-isu tempatan."

Agensi ini tidak mengeluarkan lesen serupa untuk rangkaian kabel seperti CNN dan MSNBC, atau mengawalselia berita atau laman web lain.

FCC telah mengatakan First Amendment "dengan jelas melarang suruhanjaya itu daripada menyunting perkara berkaitan dengan penyiaran" dan peranannya "dalam memantau kandungan program adalah terhad".

Pada awal tahun 1970-an, presiden ketika it, Richard Nixon dan pembantunya berbincang menggunakan proses pembaharuan lesen FCC sebagai cara menghukum Washington Post kerana liputannya mengenai Watergate yang membawa kepada kejatuhan pentadbirannya.

NBC News telah melaporkan mengenai ketegangan antara Trump dan Setiausaha Negara Rex Tillerson, dan telah mengatakan Trump mahu peningkatan dramatik dalam senjata nuklear AS, semasa pertemuan dengan para penasihat keselamatan nasional pada bulan Julai. NBC melaporkan Tillerson membuat komen "dungu" itu selepas pertemuan itu.

[Baca berita penuh]

- Reuters