Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Cadangan 100 peratus pekerja asing parahkan pengangguran'
Diterbitkan:  Oct 12, 2017 12:47 PM
Dikemaskini: 5:04 AM

Rancangan kerajaan untuk membenarkan syarikat mengambil 100 peratus pekerja asing bagi sektor tertentu langsung tidak membantu masalah kadar pengangguran yang sedia tinggi, kata Parti Amanah Negara (AMANAH).

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional Faiz Fadzil dalam kenyataan hari ini ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berhubung pertimbangan kerajaan untuk membenarkan syarikat yang terlibat dalam kegiatan eksport mengambil pekerja asing sepenuhnya untuk bahagian pengeluaran.

Faiz berkata, kerajaan sepatutnya mengambil langkah yang tidak mengabaikan pekerja tempatan dalam usahanya memenuhi pasaran kerja.

Katanya, rancangan itu jelas untuk memenuhi permintaan buruh tidak mahir dan pada masa sama membolehkan syarikat menawar gaji rendah untuk mengurangkan kos.

"Kerajaan seharusnya memberi perhatian lebih kepada kepentingan rakyat berbanding kepentingan pihak-pihak tertentu," katanya sambil berkata, terdapat cara lain untuk memenuhi permintaan dalam pasaran kerja.

Menurut Bernama 10 Oktober lalu, Nur Jazlan berkata rancangan itu agar syarikat dapat menambah kapasiti pengeluaran dan meningkatkan daya saing di peringkat global.

Katanya, terdapat syarikat yang menjalankan eksport yang memohon perkara itu, namun berkata ia perlu dibuat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Namun Faiz berkata, permintaan dalam pasaran kerja dapat dipenuhi antaranya dengan menaikkan gaji minima kepada RM1,500 sebulan seperti yang dicadangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) agar lebih ramai pekerja tempatan berminat terhadap sektor tersebut.

Setakat ini, gaji minima adalah RM1,000 bagi semenanjung dan RM920 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Katanya, kaedah itu dapat memenuhi permintaan terhadap pekerja dan pada masa sama menangani masalah pengangguran khususnya di kalangan golongan muda.

Beliau memetik kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh Ogos lalu yang terdapat 54,103 siswazah universiti menganggur dalam tempoh 6 bulan selepas menamatkan pengajian.

"Adakah Nur Jazlan sedar bahawa masalah graduan menganggur di Malaysia adalah tertinggi dalam dekad ini? Situasi akan menjadi lebih parah jika kerajaan membenarkan pengambilan 100 peratus pekerja asing untuk sektor tertentu.

"Ia perlu dipertimbangkan dengan terperinci sebelum dilaksanakan. Kerajan juga perlu lebih kreatif untuk mengoptimumkan penggunaan modal insan yang boleh dimanfaatkan untuk ekonomi negara," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS