Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mesyuarat panel penasihat antarabangsa Permata Insan bincang hala tuju program
Diterbitkan:  Oct 12, 2017 4:58 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Permata Insan yang buat pertama kalinya diadakan hari ini, membincangkan mengenai aspek falsafah pendidikan, kurikulum dan strategi pengantarabangsaan program Permata Insan.

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata mesyuarat kali pertama itu yang dipengerusikan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor selaku Penaung Program Permata Negara (Permata), menggabungkan tokoh pendidikan Islam dan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dari dalam dan luar negara.

"Antara agenda yang turut dibincangkan adalah mendepani cabaran arus perdana pendidikan masa hadapan serta menerokai jalinan strategik Permata Insan bersama institusi pendidikan dan universiti luar negara ternama khususnya.

"Ia juga bertujuan untuk membuka ruang kerjasama Permata Insan untuk melaksanakan pelbagai program melibatkan pelajar dan tenaga pendidiknya berkaitan bidang STEM dan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan di Kolej Permata Insan USIM, di Nilai hari ini.

Turut hadir Pengarah Kolej Permata Insan Prof Dr Che Husna Azhari.

Mengulas lanjut, Musa berkata gabungan pakar dalam bidang-bidang berkaitan yang disatukan dalam mesyuarat ini, akan dijadikan panduan untuk memastikan program ini berada di landasan yang betul selari dengan hasrat penaung Program Permata.

Beliau berkata melalui mesyuarat yang dijangkakan diadakan setiap dua tahun sekali ini juga, menjadi asas kukuh untuk meletakkan hala tuju perkembangan program Permata Insan untuk memastikan lebih ramai lagi generasi Islam di negara ini yang bakal diasuh dengan pendekatan Integrasi ilmu Naqli dan Aqli berfokuskan STEM yang berpandukan kepada al-Quran dan sunnah.

Antara panel penasihat dalam negara terdiri daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Perunding Kanan di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Prof Emerita Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Panel penasihat antarabangsa pula dianggotai Dr Basil Mustafa dari Oxford Centre for Islamic Studies dan Prof Kosugi Yasushi dari Universiti Kyoto, Jepun.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS