Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan RCI forex diserah pada Agong esok
Diterbitkan:  Oct 12, 2017 5:54 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai skandal urusniaga tukaran wang asing (forex) melibatkan Bank Negara Malaysia akan dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong petang esok.

Satu notis yang dihantar RCI berkata pengerusi suruhanjaya itu, Tan Sri Mohd Sidek Hassan akan bertemu Agong di Istana Negara antara jam 5 petang hingga 6 petang.

Suruhanjaya itu ditugaskan menyelidiki dakwaan mengenai kerugian urusniaga forex yang ditanggung Bank Negara dan implikasinya terhadap ekonomi negara.

Ia juga bertujuan menentukan sama ada penglibatan Bank Negara dalam aktiviti forex melanggar Ordinan Bank Pusat 1958 atau undang-undang lain yang berkaitan.

RCI itu juga memutuskan sama ada terdapat cubaan untuk menyembunyikan fakta dan maklumat mengenai hal ini serta sebarang kenyataan yang mengelirukan kabinet, parlimen dan orang awam.

Skandal forex berlaku pada akhir 1980-an dan awal 1990-an ketika Tun Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Penubuhan RCI berkenaan menyebabkan beberapa pihak mendakwa ia merupakan usaha Perdana Menteri Datuk Najib Razak untuk membalas dendam terhadap musuh politiknya itu.

Seramai 25 saksi termasuk Mahathir, bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin memberi keterangan semasa pendengaran selama lapan hari.

Sebanyak 42 dokumen juga dikemukakan semasa prosiding.

Lihat Komen
ADS