Paling Popular
Terkini

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali hari ini enggan melayan atau mengulas aksi-aksi dipamerkan Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Kata Azmin beliau tidak mahu polemik picisan seperti tindakan Jamal itu menjadi perbincangan penting kepada dirinya selaku menteri besar.

“Saya jarang sekali (respon Jamal). Bukan saya tak nak layan wartawan, tapi saya tak mahu polemik picisan seperti ini jadi satu perbincangan penting.

“Takkanlah saya kena respon isu sebegini,” kata Azmin kepada pemberita selepas majlis Apresiasi Inovasi peringkat negeri Selangor 2017 di Shah Alam, hari ini.

Azmin sebelum itu diminta mengulas tindakan Jamal yang mahu menjual ikan di himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi yang dijadual berlangsung di Padang Timur Petaling Jaya pada Sabtu ini.

Himpunan itu dianjurkan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Cadangan menjual ikan pada harga murah itu dinyatakan Jamal kelmarin.

Pedoman raja-raja Melayu

Untuk rekod Jamal bersama kumpulan Baju Merah memang sinonim dengan aksi protes yang mudah menarik perhatian.

Misalnya suatu ketika dulu dia bertuala ketika cuba berkunjung ke pejabat Azmin di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk menumpang mandi.

Jamal juga pernah mengadakan protes menggunakan van jenazah untuk mengecam kerajaan Selangor.

Mengulas lanjut Azmin yang juga Naib Presiden HARAPAN menyeru semua pihak agar tidak merendahkan usaha kerajaan Selangor melestarikan negeri itu ke peringkat yang lebih tinggi berbeza dengan apa yang diusahakan Jamal kini.

“Kita baru bincang soal Smart Tech, Regional Smart State, macam mana kita guna internet sebagainya. Janganlah letakkan wacana ke tahap begitu rendah.

“Rakyat perlu pembangunan, rakyat mahu kemajuan, mahu perpaduan.

"Saya telah keluarkan kenyataan semalam yang semua rakyat Malaysia termasuk Selangor kena ambil iktibar daripada pedoman Majlis Raja-raja Melayu mengenainya.

“Saya minta jangan berlengah lagi sebelum keadaan bertambah parah, saya minta semua individu dan kumpulan melihat teguran dan pesanan Majlis Raja-raja Melayu sebagai perkara serius untuk menjamin masa depan yang lebih kuat bagi rakyat dan ini sedang dilakukan Selangor," katanya.

Lihat Komen
ADS