Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau menyerahkan kepada peguam untuk memutuskan tindakan terhadap Utusan Malaysia yang didakwa memfitnahnya dalam isu penganjuran pesta arak di negeri itu.

Beliau memaklumkan pihak Utusan telah memberikan maklum balas berhubung tuntutannya sebelum ini.

“Saya dimaklumkan peguam yang Utusan sudah kemukakan maklum balas. Saya arahkan peguam untuk pastikan apa juga tindakan wajar untuk Utusan membersihkan nama saya dan tidak mengulangi fitnah itu.

“Bentuk (tindakan) saya serah kepada peguam untuk membincangkannya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Apresiasi Inovasi peringkat negeri Selangor 2017 di Shah Alam, hari ini.

Pada 25 September lalu, muka depan Utusan memaparkan tajuk "Azmin benar pesta arak" dengan tajuk kecil “Tidak hirau amaran PDRM mengenai ancaman pengganas".

Laporan itu mendakwa "kerajaan PKR Selangor tidak akan menghalang jika pesta arak Better Beer Festival 2017" mahu diadakan di negeri itu.

Azmin pada hari yang sama mengarahkan peguamnya menghantar surat tuntutan kepada Utusan Malaysia, menuntut akhbar itu memohon maaf, menarik balik laporan itu tanpa syarat, dan membayar ganti rugi.

Menurutnya, laporan itu tidak benar dan bertujuan untuk mengelirukan orang ramai.

Beliau memberi tempoh 48 jam kepada Utusan Malaysia untuk membuat permohonan maaf dan menarik balik laporan.

Pejabat Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan menjelaskan, Azmin pada sidang akhbar 24 September memaklumkan bahawa sebarang majlis memerlukan kelulusan pihak berkuasa tempatan serta memenuhi semua syarat yang ditetapkan.

"Beliau tidak akan melangkaui pihak berkuasa tempatan dalam hal ini. Sebagai menteri besar adalah kewajipan beliau untuk menegakkan dan mematuhi undang-undang, undang-undang kecil dan prosedur negara.

"Pendirian kerajaan negeri adalah sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, bukan sahaja kita perlu menghormati hak kaum dan agama lain tetapi kita juga harus melindungi hak mereka," petik kenyataan itu.

Lihat Komen
ADS