Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Isu Laut China Selatan harus diselesaikan secara aman'
Diterbitkan:  Oct 12, 2017 6:51 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Malaysia percaya isu Laut China Selatan adalah kompleks, merangkumi pelbagai aspek dan sangat sensitif, justeru tuntutan bertindih di kawasan itu harus diselesaikan secara aman dan mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang berkaitan.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata Brunei Darussalam, Filipina, Vietnam dan China telah membuat tuntutan terhadap kawasan dan ciri-ciri maritim di Laut China Selatan yang bertindih dengan tuntutan Malaysia di luar pantai Sabah dan Sarawak.

“Tuntutan China di Laut China Selatan berdasarkan ‘nine-dash line’ yang dibuat secara unilateral itu merangkumi hampir keseluruhan kawasan maritim Malaysia di luar pantai Sabah dan Sarawak.

Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China yang digariskan menerusi ‘nine-dash line’ kerana ia tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.

“Malaysia menegaskan akan pentingnya mengekalkan keamanan, kestabilan, keselamatan dan kebebasan pelayaran dan penerbangan di laut China Selatan,” katanya dalam syarahan mengenai ‘Isu dan Cabaran dalam Menguruskan Hubungan Luar Malaysia’ di Universiti Malaysia Sarawak, di Kota Samarahan hari ini.

Beliau berkata Malaysia menekankan keperluan semua pihak memastikan pelaksanaan secara penuh dan berkesan Deklarasi Tata Laku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) untuk: membina, mengekal dan meningkatkan saling percaya; mengamalkan kawalan diri dalam menjalankan aktiviti; tidak membuat ugutan atau secara paksa; dan untuk semua pihak terbabit menyelesaikan perbezaan serta pertikaian secara aman, seiring undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982.

Malaysia menggesa rundingan mengenai Kod Tata Laku di Laut China Selatan (COC) diperhebat bagi memastikan penggubalan lebih cepat COC, katanya.

“Justeru Malaysia dan China harus memastikan imbangan yang sesuai antara kepentingan secara individu dan bersama serta kepentingan serantau yang lebih besar dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan.

“Negara anggota ASEAN dan China telah bekerjasama bagi memastikan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan dan mereka perlu terus berbuat demikian,” katanya.

Anifah juga berkata negara anggota ASEAN dan China komited terhadap pelaksanaan DOC yang bekesan, justeru harus beroperasi dalam lingkungan DOC.

Pada masa sama rundingan ke arah penggubalan COC harus diperhebat agar dapat diwujudkan rumusan awal kod itu.
COC katanya tidak bertujuan menyelesaikan pertikaian wilayah dan bidang kuasa antara pihak-pihak berkepentingan di Laut China Selatan.

“Adalah diharapkan semua pihak akan terus bekerja dengan ASEAN ke arah pelaksanaan COC dan meningkatkan rundingan untuk penggubalannya,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS