Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pembangkang sepatutnya membantu golongan kurang berkemampuan memahami peraturan serta membantu mereka mendaftarkan kelahiran anak masing-masing dan bukannya mempolitikkan isu denda RM1,000 kata Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Menurut timbalan menteri dalam negeri itu denda yang ditetapkan kerajaan itu bukanlah mutlak sebaliknya boleh dirundingkan mengikut budi bicara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menjawab kritikan pembangkang mengenai denda RM1,000 jika kelahiran didaftarkan selepas dua bulan, Nur Jazlan menjelaskan JPN juga dibenarkan membuat pengecualian kepada ibu bapa yang tidak berkemampuan.

"Ketua Pengarah JPN mempunyai kuasa mengurangkan denda jika ia membebankan, tetapi itu bukan matlamat peraturan dan denda 60 hari itu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Nur Jazlan juga menyatakan setakat ini tiada ibu bapa yang didenda dengan jumlah begitu.

Semalam Nur Jazlan mengumumkan keputusan kerajaan menaikkan penalti daripada RM50 sebelum ini kepada RM1,000 jika ibu bapa gagal mendaftarkan kelahiran anak mereka selepas 60 hari.

Bagaimanapun untuk rekod dengan pertambahan jumlah denda itu kerajaan juga melanjutkan tempot wajib pendaftaran daripada 42 hari kepada dua bulan.

JPN boleh mudahkan

Denda itu juga hanya berkuat kuasa bagi Semenanjung Malaysia saja.

Pengumuman itu mengundang kecaman daripada pembangkang.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mempertikaikan sama ada JPN memiliki kuasa menguatkuasakan denda itu kerana ia belum diwartakan.

"Walaupun pindaan (denda) itu diluluskan parlimen tahun lalu, rujukan untuknya adalah kabur dan tidak boleh dilaksakanan hanya dengan kenyataan timbalan menteri dalam negeri," katanya.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP yang juga Anggota Parlimen Kulai Teo Nie Ching pula mengingatkan dasar seumpama itu tidak menyelesaikan masalah.

Sebaliknya kata Teo ia akan melahirkan lebih ramai kanak-kanak tanpa kewarganegaraan kerana ramai ibu bapa tidak mampu membayar denda berkenaan.

Pengerusi DAP Serian di Sarawak, Edward Andrew Luwak, mendakwa denda itu amat membebankan rakyat berpendapatan rendah dan akan menyebabkan anak-anak terbabit tidak mempunyai dokumen kerakyatan.

Katanya golongan miskin di luar bandar perlu diberikan pengecualian terhadap denda itu.

Menurut Nur Jazlan keputusan kerajaan menetapkan denda RM1,000 bukan bertujuan untuk menghukum sebaliknya agar mereka sedar kepentingan mendaftarkan anak masing-masing dan tidak menjejaskan masa depan mereka.

Katanya kemudahan pendaftaran juga kini mudah dicapai dengan adanya perkhidmatan JPN di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), unit bergerak serta pejabat cawangan yang disediakan di seluruh negara.

"Tidak susah untuk mendaftarkan kelahiran bayi dalam tempoh dua bulan. Jika ia susah JPN akan memudahkan mereka.

"Pembangkang sepatutnya memberi tumpuan membantu golongan miskin bukannya mempolitikkan isu denda itu," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS