Penyamun larikan kereta dengan dua budak di dalamnya

   

Dua kanak-kanak dilarikan ketika seorang lelaki menyamun kereta ibu mereka di Taman Pulai Indah, Kangkar Pulai di Johor Bahru pagi tadi.

Namun kedua-dua kanak-kanak itu kemudiannya ditemukan semula.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Noor Hashim Mohamed berkata dalam kejadian 7.45 pagi itu, anak perempuan mangsa ditemukan di tepi jalan di taman tersebut sementara anak lelakinya ditinggalkan di pintu masuk taman berkenaan.

“Ibu kanak-kanak itu yang merupakan seorang pembantu klinik dalam perjalanan untuk menghantar anak lelaki dan perempuannya yang masing-masing berusia lima dan tiga tahun ke rumah bapanya di taman itu.

“Apabila sampai di hadapan rumah bapanya, wanita berkenaan keluar dari kereta dan mengambil payung di dalam bonet kerana hari hujan.

“Namun tiba-tiba seorang lelaki masuk ke dalam kenderaan wanita berkenaan dan mengunci pintu kereta dari dalam. Lelaki itu kemudian melarikan kereta wanita berkenaan bersama anak-anaknya yang berada di dalam kereta.

“Adik lelaki wanita terbabit yang diberitahu mengenai kejadian itu mengekori kenderaan kakaknya dan kemudian melihat anak perempuan kakaknya ditinggalkan di tepi jalan selang beberapa buah lorong daripada rumah bapa wanita berkenaan.

“Adik wanita itu turut memberitahu kakaknya seorang individu turut menjumpai anak lelakinya di pintu masuk di taman terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hashim berkata kereta yang dilarikan itu kemudiannya dijumpai terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Ulu Choh, Pontian, sejam selepas kejadian itu.

Lelaki itu dipercayai telah melarikan diri bersama seorang lagi rakannya, katanya.

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

VOIZ

Berita Terhangat