Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kanak-kanak lemas, 3 hilang dihanyut arus deras
Diterbitkan:  Oct 13, 2017 5:50 AM
Dikemaskini: 10:06 PM

Seorang kanak-kanak perempuan ditemui lemas sementara tiga orang lagi hilang setelah dihanyutkan arus deras sewaktu berkelah di kawasan air terjun Lubuk Semilang di Langkawi semalam.

Maklumat awal Jabatan Bomba dan Penyelamat di tempat kejadian mengatakan mayat Qistina Puteri Wira, 12, ditemui kira-kira pukul 6 petang kira-kira 800 meter dari tempat mangsa hilang.

Komander Operasi Bomba dan Penyelamat, Mohd Hisyam Ibrahim berkata mereka menerima panggilan kira-kira pukul 5 petang dan tiba di tempat kejadian yang terletak 13km dari Balai Bomba Langkawi kira-kira 16 minit kemudian.

Sejurus penemuan mangsa pertama itu, pasukan itu telah menggerakkan operasi mencari tiga mangsa lagi iaitu Siti Aisyah Kassim, 5, Nur Iman Waheeda Mohd Basri, 11, dan Anis Satirah, 12.
Sehingga pukul 10 malam tadi operasi masih diteruskan namun masih belum berhasil menemukan mangsa-mangsa ini.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Langkawi, DSP Mahani Mohamad yang berkata sepasukan polis digerakkan sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu kira-kira pukul 5.10 petang.

“Setakat ini belum ada lagi waris atau anggota keluarga mangsa yang tampil untuk membuat laporan polis berhubung kejadian ini,” katanya kepada Bernama di tempat kejadian.

Menurutnya berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, pada waktu tersebut terdapat beberapa kumpulan pengunjung sedang berkelah bersama kumpulan dan keluarga masing.

“Pada jam lebih kurang 4.30 petang tiba-tiba lonjakan kepala air dari bahagian atas bukit turun terus dengan keadaan deras menyebabkan lima kanak-kanak berumur lingkungan lima ke 12 tahun dihanyutkan oleh air,” katanya.

Bagaimanapun seorang mangsa lelaki berjaya diselamatkan oleh orang awam setelah tersangkut di batu dan kayu, manakala empat lagi hilang dibawa arus.

“Mangsa yang berjaya diselamatkan mengatakan dia kenal tiga daripada mangsa yang hanyut kerana mereka adalah kawan-kawannya yang datang bersama-sama keluarga mereka untuk berkelah di sini,” katanya.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS