Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemandu kren maut dihempap generator
Diterbitkan:  Oct 13, 2017 5:59 AM
Dikemaskini: 10:05 PM

Seorang pemandu kren maut selepas generator yang digantung pada kren yang dikendalikan terjatuh dan menghempapnya di Taman Desa di ibunegara petang semalam.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur Zamani Ismail berkata mangsa yang dikenali sebagai Jamil Mahamad, 35, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dalam kejadian kira-kira 5.20 petang itu.

“Kami segera mengerahkan seramai tujuh anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 5.24 petang dan tiba kira-kira lima minit kemudian,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata sebelum kejadian mangsa dikatakan mengangkat generator itu menggunakan kren berkenaan namun terpaksa menghentikan kerja tersebut apabila hujan lebat.

“Secara tiba-tiba kabel kren itu terputus dan generator itu terjatuh ke atas mangsa yang telah turun dan sedang berdiri di sebelah kren itu,” katanya.

Katanya mangsa mengalami kecederaan parah di seluruh badan dan mayat telah diserahkan kepada pasukan forensik polis untuk tindakan selanjutnya.

- Bernama


 

Lihat Komen
ADS