Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perkeso Keningau selesai tuntutan tertangguh  24 tahun
Diterbitkan:  Oct 13, 2017 9:27 AM
Dikemaskini: 3:19 AM

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Keningau menyelesaikan tuntutan faedah dua waris pencarumnya berjumlah RM66,086.72 sen yang masing-masing tertangguh selama 24 tahun dan lima tahun.

Lumah Binsaluk, waris kepada mandiang Ansat @ Ansapat Andaku @ Anduto seorang pekerja buruh yang meninggal dunia pada tahun 1993 disebabkan serangan tekanan darah tinggi menerima cek bernilai RM33,602.78 dan geran pencen sebanyak RM255.67.

Jaminah Paling iaitu waris kepada bekas pekerja pengawal keselamatan, Savarinus Tamalang yang meninggal dunia pada 2012 disebabkan jangkitan bakteria pula menerima cek bernilai RM32,483.94 dan geran pencen RM475 sebulan.

Cek tuntutan faedah berkenaan diserahkan oleh Pengurus Perkeso Keningau Rijal Jamaluddin.

“Seluruh warga Perkeso bangga dengan kejayaan ini. Ia adalah hasil daripada usaha melalui Skuad Perkeso yang diaktifkan di Keningau awal bulan ini,” kata Rijal kepada Bernama pada majlis Penerimaan Cek Faedah Pencen kepada kedua-dua waris di Keningau.

Rijal berkata siasatan pihaknya mendapati waris tidak mengetahui fungsi Perkeso, selain keliru sama ada penyakit yang mengorbankan nyawa suami mereka tersenarai dalam perlindungan agensi itu.

“… Waris juga menghadapi masalah dokumentasi. Melalui perkhidmatan yang dijalankan oleh Skuad Perkeso, segala masalah yang dihadapi oleh waris dapat diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Rijal berkata sehingga September 2017, agensi itu merekodkan sebanyak 298 tuntutan kes faedah melibatkan pembayaran berjumlah RM650,957.38.

Katanya bayaran faedah berkenaan melibatkan kes tuntutan Hilang Upaya Sementara sebanyak RM92,247.23 sen, Hilang Upaya Kekal (RM320,200.05), Faedah Orang Tanggungan (RM9,658.49), Faedah Pengurusan Mayat (RM67,500.00, 47), Faedah Pemulihan (RM20,606.84), Faedah Perubatan (RM1,375), tuntutan pencen ilat dan pencen penakat (RM139,369.77).

“Fokus dan matlamat kami ialah untuk menjaga kebajikan pekerja, membantu waris-waris pencarum yang menghadapi masalah tuntutan... sebab itu saya berulang menasihatkan majikan agar mendaftarkan industri serta pekerja mereka kepada agensi ini bagi memastikan kebajikan pekerja terjaga,” katanya.

Katanya Perkeso telah mengenal pasti majikan yang belum mendaftarkan industri serta pekerja kepada agensi itu dan menasihatkan agar berbuat demikian dengan kadar segera sebelum sebarang tindakan diambil.

Menurutnya sehingga Jun tahun ini, sebanyak 13 kompaun bernilai RM10,000 telah dikeluarkan ke atas majikan yang gagal mendaftarkan pekerja dan perusahaan kepada Perkeso.

- Bernama

Lihat Komen
ADS