Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Unit Amal PAS uruskan jenazah Kassim Ahmad
Diterbitkan:  Oct 13, 2017 12:59 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

Langkah Unit Amal PAS Kedah menguruskan jenazah sarjana kontroversi Kassim Ahmad mendapat pujian Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin.

“Walaupun apa pun perbezaan pendapat, namun tindakan Unit Amal PAS Negeri Kedah semalam menguruskan jenazah tokoh sastera dan penulis yang ternama Kassim Ahmad wajar dipuji.

“Jika benar seperti yang parti itu sebarkan. Ia satu tindakan terhormat. Kepujian utama patut diberikan Sahibus Samahah DatukMufti Negeri Kedah.

“Pandangan dan keputusan beliau yang menyelesaikan masalah,” katanya.

Pandangan lunak Asri itu ditulis dalam Facebook malam tadi selepas beliau sendiri terpalit dakwaan menyindir Kassim berkaitan “pengurusan jenazah yang tidak disebut terperinci dalam al-Quran”.

Kassim dilabel meluas sebagai antihadis. Beliau menafikan dakwaan itu sebaliknya berkata hanya menolak hadis yang bagi pandangannya bertentangan dengan al-Quran.
Berdasar gambar yang dikongsi, dua orang lelaki dilihat memakai kopiah hijau-putih PAS sedang mengebumikan jenazah Kassim.

Seorang daripadanya memakai kemeja T bertulis RUU355 - merujuk kepada perjuangan parti itu melipatgandakan hukuman bagi kesalahan syariah.

Penegakan hujah dah berlaku?

Mengulas pandangan Kassim, Asri berkata kita boleh mengkritik pandangan Kassim, namun tidak boleh memutuskan hakikat kedudukan beliau di sisi Allah.

“Hanya Allah yang Maha Tahu. Di sana banyak persoalan ilmiah dalam bidang berkaitan yang seseorang perlu memahami dengan teliti.

“Perlu berlaku iqamah al-hujjah (penegakan hujah) sebelum seseorang dihukumkan akidahnya.

“Apakah penegakan itu telah berlaku? Apakah di sana ada persoalan-persoalan yang tidak diberikan kepadanya jawapan yang mencukupi?” katanya.

Pengalaman peribadi beliau, kata Asri, mereka berdua pernah bersetuju berdialog secara terbuka di Sinar Harian tetapi “ada pihak lain yang menggagalkannya”.

“Apapun, semoga beliau ada keuzuran dan alasan di sisi Allah. Kita hanya mengetahui yang zahir dan membahaskannya, Allah mengetahui yang zahir dan batin.

“Penilaian Allah maha adil untuk semua hamba-Nya,” katanya.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria kelmarin turut mendesak orang ramai, termasuk sarjana Islam, untuk bersangka baik terhadap Kassim, yang meninggal dunia pada 10 Okt lalu.

Katanya, tiada siapa tahu pengakhiran hidupnya dan biarlah Allah sahaja yang mengadilinya.

Lihat Komen
ADS